Banduan umpil tingkap, masuk rumah penduduk, curi kunci kereta

Banduan umpil tingkap, masuk rumah penduduk, curi kunci kereta

ABDUL Khalid Muhamud menunjukkan tingkap yang diumpil oleh seorang banduan untuk memasuki rumahnya dalam kejadian di Kampung Petaseh, Jelebu, Negeri Sembilan,  hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Salah seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada awal pagi Ahad lalu telah memasuki sebuah rumah di Kampung Petaseh di sini dan menyelongkar kain serta pakaian di dalam bilik rumah tersebut, semalam.

Abdul Khalid Muhamud, 63, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga sudah tidur namun dikejutkan oleh jeritan oleh isterinya yang melihat kelibat seorang lelaki yang tidak dikenali dalam bilik tidurnya.

“Pada kejadian pukul 1.40 pagi itu, saya dan isteri anak serta seorang cucu berada di dalam rumah. Bagaimanapun, isteri terbangun apabila nampak ada kelibat seorang lelaki menyelongkar kain di dalam bilik tidur kami. 

“Isteri sempat menjerit dan banduan itu terus keluar melalui tingkap yang diumpil dan dia sebelum itu cuba mencari kunci kereta di ruang tamu rumah kerana ada kesan selongkar di situ. 

“Besi tingkap yang diumpil memudahkan banduan itu memasuki rumah saya. Saya difahamkan, banduan berkenaan datang ke rumah saya dengan menaiki sebuah motosikal curi yang dijumpai berdekatan rumah. Selepas banduan itu keluar saya sempat menghubungi jiran terdekat dan mereka datang, kemudian banduan itu ditemukan di sebuah rumah berdekatan oleh penduduk kampung dan pihak polis,” katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan seramai tujuh orang banduan tahanan reman mahkamah telah melarikan diri dari Penjara Jelebu pada awal pagi Ahad lalu, dan sehingga kini seramai tiga orang daripada mereka telahpun diberkas semula.

Hari ini, banduan ketiga berjaya ditangkap iaitu Shazuan Md Sharif, 32, yang ditahan di Sungai Muntoh, Titi di sini sekitar pukul 4 pagi.

Semalam, polis berjaya menangkap semula seorang banduan bernama Mohd. Zairizan Zainal, 42, yang ditahan di Kampung Petasih Tengah, Pertang di sini pada pukul 5.15 pagi semalam. 

Terdahulu pada hari kejadian polis berjaya melakukan tangkapan terhadap banduan bernama, Sohaimi Khalid, 50, yang diberkas di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 petang.

Dalam pada itu khalid memberitahu, jarak rumahnya dari laluan pencawang elektrik adalah 500 meter di mana lokasi itu dikatakan sering digunakan banduan yang melarikan diri untuk masuk ke kampung tersebut. 

“Ini kejadian kali kedua yang terjadi di rumah saya. Pada tahun 1998, saya sekeluarga tidak berada di rumah dan saya dimaklumkan rumah saya dimasuki banduan untuk mencari makanan dan apabila tiba di rumah, rumah saya sudah berselerak. Saya juga tidak sangka ia akan berulang lagi pada kali ini,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Zaidah Ahmad, 51, berkata, dia kini bimbang untuk tinggal seorang diri di rumah selepas kejadian berkenaan. 

“Saya agak trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku di depan mata. Saya juga agak risau sekiranya suami pergi bekerja. Bagaimanapun suami sudah menempah besi tingkap untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN