PETALING JAYA: Ketika pelbagai sektor ekonomi memerlukan sejuta pekerja, mungkin kira-kira 260,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada setiap tahun yang gagal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dapat mengatasi masalah tersebut.
Hal ini kerana saban tahun lebih 400,000 pelajar menduduki peperiksaan awam itu dan kira-kira 140,000 diterima memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam dan swasta namun selebihnya tidak diketahui kedudukan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak menolak baki remaja yang gagal meneruskan pengajian masih tercari-cari peluang kerana kurang bimbingan dalam mencari pekerjaan atau jika mahu memulakan perniagaan.
Justeru, menurut beliau, kerajaan perlu mewujudkan bank data atau pangkalan maklumat lepasan SPM untuk melihat semula hala tuju selepas tiga bulan keputusan peperiksaan diumumkan supaya langkah intervensi dapat dilakukan membabitkan masa depan kumpulan tersebut yang sudah tentu berlaku setiap tahun.
Data bank
Jelas beliau, kerajaan menerusi data bank itu dapat membuat perancangan hala tuju lepasan SPM terutama dalam kalangan mereka terkandas daripada tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
“Kalau di negara-negara maju, setiap tiga bulan, para belia akan menerima panggilan daripada pihak berwajib untuk mendapatkan perkembangan terbaharu sama ada mereka dapat pekerjaan atau sebaliknya. Jika berminat memulakan perniagaan atau pekerjaan, kerajaan perlu sediakan ruang seluas-luasnya membantu mereka ini.
“Kita tidak boleh membiarkan nasib `kumpulan tercicir pelajaran’ begitu sahaja selepas peperiksaan. Mungkin ada yang dapat masuk ke IPT, tetapi bagaimana pula bagi yang tidak dapat? Kalau dibiarkan begitu sahaja, apakah jadi dengan masa depan mereka,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sektor peruncitan, perhotelan serta restoran kini berdepan kesulitan dan pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan dalam fasa endemik kerana masih kekurangan hampir 200,000 tenaga kerja, sekali gus menghalang perniagaan mencapai operasi sepenuhnya.
Malah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah membangkitkan nasib lepasan SPM dan menggesa kerajaan membela golongan tersebut dengan memberi pelbagai inisiatif.
Keutamaan
Dalam pada itu, Syed Saddiq menambah lepasan SPM perlu diberikan keutamaan untuk diberikan pendedahan ilmu kemahiran seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar negara akhirnya tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Masih terdapat ramai remaja kita yang tidak tahu peluang disediakan kerajaan sedangkan terdapat program TVET bukan sahaja ditaja malah diberikan elaun,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, terdapat lepasan SPM yang tidak ke IPT disebabkan mempunyai masalah akademik dan kurang minat untuk menyambung pengajian.
Justeru, kata beliau, golongan tersebut tidak boleh terlepas pandang dan kerajaan perlu memberikan pendedahan kemahiran baharu yang boleh menjamin masa depan mereka termasuk peluang pekerjaan.
“Oleh demikian, kerajaan perlu menyediakan platform khas untuk kumpulan ini yang menjadi belia bagi mencari peluang sama kursus kemahiran, kerjaya dan perniagaan. Hal ini kerana kerajaan banyak insentif namun ramai tidak tahu ruang tersedia selama ini.
“Justeru, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan belia Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan negara, khususnya belia tanpa pekerjaan, pendidikan dan latihan (NEET),” katanya.
Kadar gaji
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kadar gaji rendah antara punca belia enggan bekerja secara ‘makan gaji’ apabila mereka lebih memilih sektor ekonomi gig yang menawarkan upah harian lebih lumayan walaupun tidak mempunyai prospek masa depan.
Katanya, kerajaan perlu melihat semula masalah ini termasuk mewujudkan satu akta untuk mewajibkan majikan memberi kenaikan gaji tahunan berdasarkan prestasi masing-masing, sekali gus memberi ruang kepada tambahan daripada nilai minimum RM1,500.
“Kita akui pelaksanaan gaji minimum bermula 1 Mei dilihat mampu mengangkat martabat pekerja, namun, belum mampu untuk menarik rakyat untuk bekerja sekiranya kadar itu hanya statik untuk selama-lamanya.
“Malah, pekerjaan tertentu perlu diberikan penjenamaan di samping inovasi baharu untuk menarik minat rakyat tempat bekerja. Misalnya, tugas penyapu sampah perlu diberikan nafas baharu seperti menamakan pekerja kualiti kebersihan di samping tidak hanya peranan menyapu, tetapi melakukan tugas lain dengan gaji setimpal,” katanya. – UTUSAN










