KUANTAN: Lebih 13 kawasan tumpuan di seluruh negeri ini dipantau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Op Hari Raya (OP HRA) yang bermula Jumaat sehingga 8 Mei ini.
Pengarah JPJ negeri, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan di laluan utama negeri dan lebuh raya bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian pada musim perayaan.
Katanya, penguatkuasaan melibatkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Jalan Kuantan-Kemaman, Jalan Kuantan-Gambang, Jalan Kuantan-Pekan, Jalan Kuantan-Temerloh-Karak (Jalan Lama), Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Bentong-Raub-Lipis-Central Spine Road (CSR) Merapoh.
“Kita juga akan memantau laluan utama negeri seperti Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Simpang Jengka-Bandar Pusat Jengka, Jalan Tanah Rata-Sempadan Cameron Highlands Tapah, Jalan Paloh Hinai-Bandar Pekan, Jalan Bukit Ibam-Muadzam Shah-Rompin dan Jalan Bahau-Keratong,” katanya dalam sidang akhbar sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ops HRA di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini hari ini.
Menurut Kamarul Iskandar, penguatkuasaan lebih tegas diambil membabitkan sembilan kesalahan utama bagi memastikan kadar kemalangan dan kematian dapat diturunkan.
“Antara kesalahan yang diberi fokus adalah kesalahan seperti tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah dan menggunakan telefon bimbit.
“Selain itu, kesalahan lain seperti memandu lebih had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang keledar juga akan diberikan fokus,” katanya.
Beliau berkata, seramai 325 anggota JPJ Pahang terbabit sepanjang operasi berkenaan termasuk anggota yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres bagi memantau pemandu bas yang melakukan kesalahan. – UTUSAN