SHAH ALAM: Sembilan kawasan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dipantau lebih kerap oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, antara jalan tersebut adalah Kilometer (KM)400 hingga KM 450 Lebuhraya Plus, KM 25 hingga KM 40 arah utara Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), KM 16 hingga KM 18 Lebuhraya Lembah Klang Selatan dan lain-lain lagi.
“Saya telah arahkan anggota daripada balai-balai yang berdekatan dengan jalan-jalan supaya membuat pemantauan, mulai hari ini.
“Saya harap orang ramai memandu mengikut peraturan yang ditetapkan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ),” katanya selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Musim Perayaan anjuran JBPM Selangor di pusat membeli-belah Central I-City di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu peratusan petugas yang dibenarkan bercuti pada Hari Raya kali ini ditingkatkan kepada 20 peratus berbanding 10 peratus daripada 1,600 anggota.
Menurut Norazam, anggota yang dibenarkan bercuti ketika perayaan bagaimanapun perlu berada dalam keadaan siap sedia untuk dipanggil bertugas dalam operasi menyelamat. – UTUSAN