ALOR SETAR: Jumlah kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sehingga 1.4 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintenden Mohd. Mahiri Hussin, empat daerah di negeri ini iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim dijangka mengalami aliran trafik paling sibuk dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu, menurutnya, seramai 400 anggota trafik akan bertugas pada Op Selamat 18 sempena sambutan perayaan tersebut.
Katanya, anggota trafik terlibat akan diberi penugasan memantau dan memastikan kelancaran aliran trafik pada musim perayaan tersebut.
“Kita menjangkakan kemasukan kenderaan ketika Aidilfitri ini lebih daripada biasa sebab sudah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.
“Pada tahun ini, kita menjangkakan sehingga 1.4 juta kenderaan akan masuk ke Kedah berbanding cuma 500,000 kenderaan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Op Selamat 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Petronas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Mohd. Mahiri memberitahu, jabatannya turut menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pengguna jalan raya di seluruh negeri ini sejak tiga hari lepas.
“Pasukan ini dianggotai oleh seorang pegawai dan 10 anggota trafik untuk memantau pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan mengambil tindakan untuk samseng jalanan.
“Pemantauan tersebut berterusan sehingga selesai Op Selamat ini. Ada yang beruniform dan ada yang menyamar jadi kita nasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kata beliau, pihak polis juga mengenal pasti lokasi hotspot yang menjadi tumpuan mat rempit mengadakan lumba haram antaranya di Pokok Sena dan Gurun dekat sini.
Tambahnya, anggota polis dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan tersebut untuk mencegah kegiatan tersebut.
“Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita motosikal milik mat rempit yang ditahan,” katanya. –UTUSAN










