PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 45 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam lapan serbuan berasingan di sekitar Selangor pagi semalam.
Mereka berusia 29 hingga 50 tahun ditahan Bahagian Penguatkuasaan JIM yang melakukan operasi serentak pada pukul 11 pagi semalam di sekitar Semenyih, Seri Kembangan, Jenjarom, Cheras dan Serdang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga asing terbabit adalah warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia, dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Operasi dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu melibatkan kekuatan seramai 52 pegawai pelbagai pangkat.
“Secara keseluruhan, seramai 88 individu telah diperiksa, melibatkan 66 warga asing dan 22 warganegara tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata, sembilan saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, JIM akan mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak hanya tertumpu kepada warga asing, malah turut menyasarkan majikan yang ingkar, cuai atau sengaja menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji pekerja asing secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN










