Ahmad Dusuki didakwa ingkar arahan tamat tauliah

Ahmad Dusuki didakwa ingkar arahan tamat tauliah

SYUKRIA Yahya (empat dari kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil istana sambil disaksikan Mohd. Sany Hamzan (tiga kiri) berhubung bantahan terhadap pemimpin Pas yang didakwa derhaka kepada Sultan Selangor di Istana Alam Shah di Klang, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menyampaikan tazkirah malam kelmarin di Masjid Nurul Iman, Rawang mengundang rasa tidak puas hati Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara, Mohd. Sany Hamzan.

Malah, Ahmad Dusuki disifatkan sebagai penderhaka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila tauliah mengajarnya sudah pun ditarik balik pada Disember lalu. 

Menurut Mohd. Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, tindakan Ahmad Dusuki jelas melanggar titah Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Selama ini pemimpin Pas menuduh kami pemimpin Pakatan Harapan (PH) menderhaka kepada Sultan Selangor tetapi hari ini jelas menunjukkan kepada kita Paslah parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor.

“Sebab dia (Ahmad Dusuki) sudah ditamatkan tauliahnya. Dia tahu itu tetapi apabila dia melanggar titah baginda, kami sebagai rakyat Selangor tidak boleh berdiam diri kerana dia melanggar titah Sultan Selangor, sultan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum bantahan bersama ahli-ahli kariah Masjid Nurul Iman Rawang kepada wakil pihak Istana Alam Shah.

Memorandum bantahan tersebut diterima Penyelia Istana Alam Shah, Abdul Kadir Safwan.

Yang hadir sama ialah ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Ketua Kampung Kenangan, Rawang, Syukria Yahya.

Terdahulu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilapor memaklumkan,tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember tahun lalu.

Perkara itu diputuskan  MAIS yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

Abdul Aziz berkata, mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sementara itu Syukria berkata, pihaknya berharap suatu tindakan tegas diambil terhadap Ahmad Dusuki dan Nazir Masjid Nurul Iman Rawang yang membenarkan pemimpin politik tidak bertauliah memberi tazkirah Ramadan di masjid tersebut.

“Ahli-ahli kariah sudah membantah sejak setahun yang lalu kepada pihak masjid, pejabat agama daerah dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu penceramah tidak bertauliah. Namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Oleh kerana masih berlarutan hingga malam kelmarin, kami anak-anak kariah Masjid Nurul Iman Rawang hadir hari ini menghantar memorandum bantahan kepada baginda hari ini agar tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya