AAS Tamar sasar jualan kurma RM500,000 - Utusan Malaysia

AAS Tamar sasar jualan kurma RM500,000

SALAHUDDIN Ibrahim bersama isterinya, Asfadilah Haramaine di premis jualan kurma diusahakan mereka di Pasar Raya Lotus, Seremban Jaya, Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permintaan tinggi terhadap kurma berkuali tinggi mendorong syarikat pembekal kurma, AAS Tamar Enterprise menyasarkan jualan kurma mencecah RM500,000 sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Salahuddin Ibrahim, 38, yang menjalankan perniagaan itu bersama isterinya, Asfadilah Haramaine, 33, berkata, selepas fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu, hasil jualan syarikatnya meningkat berbanding dua tahun sebelum ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tahun ini lebih meriah, kami berpeluang membuka gerai jualan kurma di luar selain di premis sedia ada, jadi kami sasarkan jualan kurma antara RM400,000 hingga RM500,000 untuk Ramadan tahun ini,” katanya ketika ditemui di premis jualannya di Pasar Raya Lotus, Seremban Jaya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan lebih gemar memilih kurma berkualiti walaupun harganya lebih tinggi seperti Ajwa, Mabroom, Safawi dan Mariami.

“Murah tidak semestinya orang beli contohnya kurma Ajwa orang hendak yang besar, sedap dan gred tinggi.

“Stok kurma di kedai kami semuanya memang segar dan berkualiti, semua stok baharu kami import dari negara seperti Iran, Turki, Tunisia dan Arab Saudi,” katanya.

Sahaluddin memberitahu, kebiasaannya kurma segar menjadi pilihan pelanggan untuk makan bersama keluarga manakala kurma kotak biasanya dibeli dalam kuantiti banyak untuk disedekahkan atau sebagai hadiah.

“Kurma dalam kotak lebih sesuai dijadikan hadiah atau sedekah kerana sudah siap dibungkus, jika kurma segar boleh juga tetapi pelanggan perlu paketkan sendiri dalam bentuk hamper atau lain-lain dan lebih premium,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN