Kehadiran pelakon muda yang semakin rancak dalam industri seni tanah air hari ini dilihat sebagai satu fenomena yang tidak boleh disangkal.
Dalam masa sama, persoalan tentang adab serta penghormatan terhadap artis lama terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penggiat seni.
Tampil bekerjasama dengan barisan pelakon muda, aktres, Dynas Mokhtar berkongsi pandangan mengenai dua sisi penting ini yang dilihat berjalan seiring dalam membentuk landskap industri hiburan masa kini.
Menurut Dynas, lambakan artis baharu bukanlah satu isu negatif, sebaliknya memberi impak besar dalam menyegarkan industri yang sebelum ini dilihat kurang variasi.
Bukan itu sahaja, kehadiran pelapis baharu turut membuka lebih banyak peluang kepada penerbit dan pengarah untuk menghasilkan karya yang lebih pelbagai.
“Sekarang ini pelakon baru semakin ramai macam cendawan, hari-hari ada pelakon baharu. Bagi saya itu bagus sebab industri kita jadi lebih hidup dan tak bosan dengan muka yang sama sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Dynas, perubahan ini jelas dapat dilihat apabila lebih ramai wajah segar menghiasi pelbagai platform, termasuk televisyen dan penstriman digital.
“Dulu mungkin kita asyik nampak orang yang sama sahaja pegang watak utama. Tapi sekarang sudah ada banyak pilihan dan variasi, itu yang buat penonton lebih teruja,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 43 tahun itu turut meluahkan rasa kagum rata-rata pelakon muda masa kini hadir dengan persediaan yang lebih mantap berbanding generasi terdahulu.
“Mereka bukan datang kosong. Mereka ambil kelas lakonan, buat latihan dan betul-betul bersedia sebelum masuk industri. Itu yang membezakan mereka sekarang.
“Kalau dulu mungkin ada yang nampak seperti model tapi lakonan kurang. Sekarang ini mereka ada pakej lengkap, boleh berlakon dengan baik. Mereka ini walaupun tak ada job, tetap pergi kelas, tetap belajar. Mereka nak jadi lebih baik dan kita boleh nampak usaha itu,” ujarnya.
Hormat artis lama
Meskipun teruja menyambut kehadiran pelapis baharu, Dynas menegaskan bahawa nilai hormat terhadap artis lama tidak seharusnya dipinggirkan.
Malah, aktres itu sempat memuji sikap barisan pelakon muda yang digandingkan dengannya menerusi drama Dorm 403 yang rata-ratanya sangat beradab, selain mudah memberikan kerjasama.
“Alhamdulillah, pelakon muda sekarang yang saya jumpa semuanya sangat menghormati. Mereka tahu cara untuk menghormati orang lama dalam industri.
“Saya nampak mereka ini dibesarkan dengan cara yang baik. Mereka tahu adab, tahu nak hormat orang, bukan sekadar dalam kerja tapi dalam kehidupan,” jelasnya.
Dynas bagaimanapun tidak menafikan bahawa dia berasa kurang senang dengan sikap segelintir artis baharu yang bersifat sombong selepas nama mereka meningkat naik.
“Sebelum ini ada saja pelakon baru yang baru sahaja membintangi drama sudah sombong dan tidak menghormati yang lebih berusia. Saya bukannya mahu sangat rasa hormat mereka, tidak.
“Tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan rasa hormat kepada pasukan produksi, pengarah dan barisan artis yang sudah bekerja lebih lama daripada kalian,” tegasnya.
Tambah Dynas, dia kagum apabila pelapis baru hari ini semakin berani berguru dengan artis berpengalamam demi menjaga kualiti lakonan dan sesebuah karya.
“Rata-rata pelakon baru yang saya sudah bekerjasama semakin berani untuk bertanya dan meminta pandangan. Kalau masa saya dahulu, saya takut untuk bercakap dengan senior.
“Saya rasa itu perkara yang bagus. Mereka malah terbuka untuk menerima pandangan kita demi menghidupkan sesebuah babak dan mencantikkan lagi karya tersebut,” ujarnya.










