205,544 keldai akaun dikesan sejak 2014

205,544 keldai akaun dikesan sejak 2014

"BAGI akaun-akaun keldai ini, PDRM akan tangkap pemilik dan tuduh di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan." - Victor Sanjos 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 205,544 akaun melibatkan enam institusi perbankan di negara ini dijadikan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan dalam talian sejak 2014 sehingga tahun lalu.

Akaun-akaun berkenaan dipercayai dibuka individu tertentu sebelum ‘disewa atau dipinjamkan’ kepada sindiket penipuan dengan bayaran RM2,000 sehingga RM3,000 setiap satu.

Sekiranya terus dibiarkan, ia boleh meningkatkan lagi jenayah siber di negara ini memandangkan akaun itu menjadi tempat pemindahan wang yang diberikan kepada pemilik oleh penjenayah.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, modus operandi sindiket untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di platform media sosial atau ditawarkan kepada kenalan terdekat dengan jumlah bayaran tertentu.

Kata beliau, alasan yang sering digunakan adalah untuk tujuan perniagaan selain ahli sindiket bertindak menipu pemilik akaun bagi meminjam akaun mereka namun menggunakannya untuk tujuan jenayah.

“Akibat terpedaya selain desakan mencari sumber kewangan dengan cara mudah menyumbang kepada ‘kerjasama’ pemilik akaun dengan sindiket penipuan tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang.

“Lazimnya golongan pekerja am, pekerja kilang, pelajar dan suri rumah menjadi sasaran sindiket penipuan untuk memanipulasi akaun mereka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Victor berkata, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 34,005 tangkapan dilakukan selepas 89,960 kertas siasatan dibuka melibatkan penipuan dalam talian sejak 2016 sehingga Mac lalu.

Kata beliau, daripada jumlah tangkapan itu, 70 peratus adalah mereka yang menjadi keldai akaun yang mana 22,368 orang telah dituduh.

“Sebahagian akaun yang dikesan digunakan sebagai akaun keldai telah ditutup oleh pihak bank, selain ada juga yang masih aktif namun disita memandangkan masih terdapat wang di dalamnya.

“Bagi akaun-akaun keldai ini, PDRM akan tangkap pemilik dan tuduh di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Menyedari ancaman itu, beliau berkata, usaha sewajarnya sudah lama dilaksanakan PDRM bagi menghalang akaun keldai berleluasa termasuk tindakan tegas.

Tegas beliau, mereka (penama atau individu) yang menjadi keldai akaun berpotensi disenaraihitamkan di bank-bank meskipun kes mereka telah selesai dan dituduh di mahkamah.

Bukan itu sahaja, mereka juga menghadapi masalah untuk membuka akaun bank pada masa akan datang meskipun bagi tujuan pembayaran gaji atau lain-lain perkhidmatan yang memerlukan akaun bank.

“Jika buka akaun pun, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada polis sebelum kita mencadangkan kepada pihak bank untuk mengehadkan transaksi akaun itu yang mana ia hanya boleh dilakukan di kaunter.

“Selain itu, mereka tidak diberikan kemudahan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan perkhidmatan perbankan internet,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat bank dan peribadi lain selain jangan mudah menerima tawaran membantu melakukan pemindahan wang ke akaun tertentu.

Katanya, majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa teraniaya dan tidak mengetahui akaun bank miliknya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

“Namun, alasan diberikan tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak yang berkenaan.

“Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segera buat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN