19 PATI dicekup di parit, paya bakau - Utusan Malaysia

19 PATI dicekup di parit, paya bakau

SEMUA warga asing yang dicekup polis awal pagi tadi selepas cuba bersembunyi dekat kawasan paya bakau di Kampung Tali Air, Banting di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di kawasan parit dan paya bakau selepas mendarat untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa gagal apabila dicekup di sekitar Kampung Tali Air, Banting di sini hari ini.

Kesemua 14 lelaki dan lima wanita warga asing berusia 21 hingga 48 itu dipercayai baru tiba di negara ini dengan menaiki bot.

Taktik persembunyian itu bagaimanapun dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang memberkas mereka secara berasingan, kira-kira pukul 3.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, perkara itu dikesan pihaknya ketika melakukan rondaan dan pemantauan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sekitar kawasan tersebut.

Katanya, penahanan awal melibatkan lima warga asing yang didapati bersembunyi di dalam parit.

“Siasatan lanjut kemudian menahan 14 lagi individu di kawasan paya bakau berhampiran lokasi tersebut. Pemeriksaan mendapati 19 individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Rizal, kesemua PATI itu masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot.

“Mereka dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut. Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya