PETALING JAYA: Lebih 130,000 pelarian etnik Rohingya akan terus menetap di Malaysia selagi keganasan genosid dilakukan kerajaan Myanmar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, Malaysia tidak perlu menghalau Rohingya kerana mereka sendiri akan pulang jika kerajaan Myanmar berhenti melakukan kezaliman terhadap mereka.
Bagaimanapun, menurut beliau, etnik Rohingya tidak boleh pulang dan terus mencari perlindungan di negara ini sekiranya kekejaman kerajaan Myanmar tidak mampu dihentikan dengan tekanan oleh negara-negara luar.
“Tidak perlu halau kami kerana kami sendiri akan pulang ke negara asal. Lagipun siapa yang tidak rindu kampung halaman, malah kami ke Malaysia bukannya untuk tinggal selamanya tetapi mahu melindungi diri buat sementara.
“Kami tiada niat langsung melarikan diri ke negara lain termasuk Malaysia dan menjajah kawasan tersebut melainkan ada sebab berbuat demikian iaitu keganasan Myanmar yang menyeksa kehidupan etnik Rohingya termasuk dalam kalangan kanak-kanak dan wanita,” katanya.
Minggu lalu, negara dikejutkan dengan 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi.
Kumpulan berkenaan memecahkan pintu blok dan besi penghadang sebelum melarikan diri.
Susulan kejadian itu, Malaysia mahu mengkaji semula pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi pelarian tersebut.
Dalam pada itu, Zafar berkata, Malaysia sepatutnya menyekat dan membawa orang tengah ke muka pengadilan apabila ada kemasukan etnik Rohingya secara haram berbanding tindakan Malaysia yang mahimengkaji semula pengeluaran kad UNHCR.
Jelas beliau, etnik Rohingya jika akan memasuki Malaysia sekiranya tiada pihak yang memberikan ruang untuk membawa masuk mereka dengan secara haram.
Eksploitasi
“Semua kemasukkan warga Rohingya berpunca akibat eksploitasi pemerdagangan manusia yang juga belum ditangani dengan baik sehingga kini. Memang diakui Rohingya menjadi pelarian kerana tidak sanggup menghadapi keganasan genosid kerajaan Myammar, tetapi apakah peluang yang ada sekarang melainkan melarikan diri ke negara lain.
“Namun ini tidak bererti kami ada akses untuk berbuat demikian melainkan ada pihak yang cuba memberikan laluan untuk memperdagangkan kami ke negara ini termasuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan, lebih ramai Rohingya akan memasuki Malaysia jika kerajaan memberikan peluang pekerjaan kepada mereka untuk menampung kekurangan tenaga buruh.
Beliau menjelaskan, tindakan itu akan turut menarik perhatian etnik itu untuk memasuki negara ini sekali gus menyebabkan pelbagai masalah seperti yang berlaku di Sungai Bakap baru-baru ini.
Katanya, kerajaan perlu tegas berhubung soal tersebut dengan menyekat kemasukan warga asing dan mengambil tindakan undang-undang terhadap etnik yang cuba menceroboh negara ini.
“Masalah Rohingya adalah tiada dunia ketiga yang mahukan mereka sama ada Amerika Syarikat dan Eropah, jadi masalah ini menjadi beban kepada Malaysia apatah kita berhadapan kekangan kewangan dan tempat untuk melindungi mereka.
“Tetapi jika membenarkan mereka berkerja kerana tidak mahu menanggung kos kehidupan, ia akan menjadi daya penarik untuk datang ke Malaysia. Malah dalam keadaan sekarang, daya penarik itu amat kuat,” katanya.- UTUSAN











