Warisan bukan parti politik Cina

Warisan bukan parti politik Cina

Mohd. Shafie Apdal (berdiri kiri) menyantuni penduduk setempat ketika mengadakan 'walk-about' di sekitar Bukit Batu, Kulai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan parti berasal dari Sabah itu sebuah parti politik khusus buat masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Semporna itu sebaliknya berkata, Warisan adalah satu-satunya parti politik yang mencerminkan kepelbagaian kaum di peringkat kepemimpinan tertinggi mereka.

Katanya, hal itu berbeza dengan mana-mana parti politik lain yang juga mendakwa adalah parti berbilang kaum seperti DAP dan PKR.

“Siapa pimpinan tertinggi DAP, Lim Guan Eng. Siapa lagi, Lim Kit Siang, pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, semua hanya dari satu kaum. Begitu juga PKR, kepemimpinan tertinggi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian bertukar kepada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kemudian anaknya pula, Nurul Izzah Anwar.

“Apabila mereka berkata mereka adalah sebuah parti berbilang kaum, itu tidak lebih daripada sekadar cakap-cakap mulut sahaja, berbeza berbanding kita (Warisan).

“Tetapi lihat Warisan dan barisan kepemimpinan tertingginya, ada Melayu beragama Islam, ada Cina, ada Kristian. Itu buktinya Warisan adalah sebuah parti berbilang kaum,” tegasnya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Warisan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, di sini hari ini.

Turut hadir, calon Warisan bagi kerusi berkenaan, Lee Ming Wen.

Tambah Mohd. Shafie, dakwaan bahawa sokongan yang diterima pihaknya ketika membuat keputusan memasuki semenanjung hanya mampu menarik minat kaum Cina juga tidak benar.

“Adalah tidak benar kita hanya mendapat sokongan masyarakat Cina, lihat sahaja di Pekan Nanas, calon dan jenteranya Melayu, manakala di Bekok pula, calon dan jenteranya adalah India. Jadi kita dapat sokongan semua kaum dan agama.

“Namun tidak dinafikan majoriti daripadanya adalah masyarakat Cina dan saya berterima kasih kepada mereka kerana mereka bijak menilai dengan realistik.

“Sokongan kepada sesuatu parti politik tidak seharusnya dibuat berdasarkan kaum dan agama, tetapi sebaliknya pihak yang benar-benar ikhlas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya