PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melancarkan MARii-UiTM Satellite Node hari ini.
Ia merupakan pusat penyelidikan & pembangunan (R&D) dan pembangunan bakat yang menawarkan kemudahan, alat dan peralatan bertaraf industri berfokuskan kepada sektor automotif, automasi, robotik, IoT dan bidang berkaitan bagi pemegang taruh pelbagai sektor teknologi.
MARii-UiTM Satellite Node yang berletak di Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI), Kolej Kejuruteraan UiTM, bertujuan untuk mengukuhkan pengembangan R&D Industri 4.0 (IR4.0), mempromosi dan membangunkan rangkaian kerjasama akademik, budaya, penyelidikan dan bakat dalam sektor teknologi tempatan serta memperkukuhkan rantaian pembekal 5.0 di Malaysia.
Pencapaian matlamat MARii-UiTM Satellite Node ini akan bermula dengan pemeteraian tiga Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak, meliputi pembangunan sistem pembelajaran virtual bagi pembuatan bahan tambahan logam (metal additive manufacturing), Pengajaran & Pembelajaran Talian Lean Karakuri IR4.0 dan membangunkan model ramalan bagi melaksanakan “Pengesanan Simptom Covid-19.”
Majlis pelancaran serta Memorandum Perjanjian telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Ts. Madani Sahari.
Dengan tertubuhnya MARii- UiTM Satellite Node, kedua-dua pihak sedang membangunkan kerjasama baharu, merangkumi program perkongsian industri melalui perundingan projek-projek di pelbagai industri, penubuhan perkongsian pengajaran-kilang melalui ruangan industri yang dikongsi, platform pembelajaran virtual bagi kursus-kursus automotif, robotik dan IoT, serta pembangunan program pasca siswazah selaras dengan Industry4WRD melalui pusat-pusat kecemerlangan MARii- UiTM ini.
Roziah berkata, perkongsian strategik itu akan memberi ruang kepada UiTM, terutamanya dalam kejuruteraan pembuatan pintar, serta kepakaran dalam bidang lain, untuk bekerjasama dengan industri berkaitan; pada masa yang sama melahirkan graduan yang bersedia untuk IR4.0 terkini.
“MARii-UiTM Satellite Node akan memberikan kedua-dua pihak dan bakal pelanggan, industri serta orang ramai, akses yang lebih baik kepada kemudahan terkini di Kolej Kejuruteraan serta kemudahan lain di seluruh UiTM.
“Hubungan dan perkongsian industri yang terjalin ini penting dalam memastikan penyelidikan dan inovasi serta pengajaran & pembelajaran UiTM kekal berimpak tinggi serta mampan dari aspek komersil bagi pihak industri dan komuniti bagi meningkatkan prestasi pengeluaran dan ekonomi melangkaui wabak ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Madani berkata, ia adalah satu lagi pencapaian yang terhasil daripada perkongsian yang dimeterai MARii dan UiTM sejak 2010 (semasa ia dikenali sebagai Institut Automotif Malaysia).
Kata beliau, rangkaian bakat MARii yang menjangkau kepakaran dari industri, akademik dan kerajaan kini mempunyai akses kepada dimensi baharu dalam pembangunan teknologi melalui penubuhan MARii-UiTM Satellite Node.
“Selain daripada penempatannya di universiti tempatan, MARii-UiTM Satellite Node berfungsi sebagai hab strategik bagi pelbagai industri di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk automotif, elektrik & elektronik, logistik dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN










