UCJAS diarah siasat pencemaran sungai di Selangor

UCJAS diarah siasat pencemaran sungai di Selangor

TUAN IBRAHIM Tuan Man (kanan) diberi taklimat dan meninjau Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Batu Berendam, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mengarahkan agensi penguatkuasaan serta beberapa badan lain membuat pemantauan ke atas dua batang sungai di Selangor yang didakwa tercemar akibat aktiviti domestik dan perindustrian.

Mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini, Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau turut meminta Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turun ke Sungai Kuala Selangor dan Sungai Langat untuk melakukan siasatan terperinci.

Menurutnya, siasatan perlu dilakukan segera kerana tidak mahu bukti-bukti berlakunya pencemaran hilang begitu sahaja, lantas menyukarkan pendakwaan mereka yang terlibat.

“Kita beri perhatian serius berdasarkan laporan Utusan Malaysia kerana di Selangor ada tiga loji besar yang boleh menyebabkan 15 juta pengguna terjejas jika berlaku pencemaran air. Kita harapkan tiada pencemaran air mentah hingga kita terpaksa menutup loji.

“Pemantauan kedua-dua sungai berkenaan dibuat segera oleh semua agensi terlibat, diarahkan turun membuat siasatan segera.

“Saya masih menunggu laporan daripada agensi terlibat untuk mengetahui sejauh mana pencemaran yang berlaku di Sungai Langat dan Sungai Kuala Selangor,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Batu Berendam, di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan keadaan dua sungai di Selangor yang menjadi sumber air untuk enam juta penduduk di Lembah Klang berdepan risiko menggunakan air tercemar.

Tinjauan mendapati, wujud aktiviti perindustrian di kawasan berhampiran selain terdapat lokasi mencurigakan seperti pembuangan sisa tercemar di sepanjang kedua-dua sungai berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Tuan Ibrahim berkata, ia adalah yang terbesar di negeri ini dengan kos pembinaan hampir RM111 juta.

Beliau berkata, loji berkenaan mampu memanfaatkan 140,000 penduduk dan diunjurkan mencecah 500,000 orang pada masa akan datang.

“Loji ini mampu menerima kumbahan sehingga 80 peratus daripada kapasiti reka bentuk apabila Projek Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan siap pada 13 Jun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN