PONTIAN: Rekod pencapaian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mampu melahirkan pekerja mahir terlatih memerlukan dasar baharu berkenaan bidang itu digubal secara khusus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam TVET yang sehingga kini menjadi rebutan majikan.
Beliau berkata, kadar kebolehpasaran pelatih lepasan TVET pada 2020 juga mencecah 87 peratus mengatasi 84.4 peratus rekod kebolehpasaran di peringkat nasional.
“Kita tahu dahulu sijil latihan TVET ini tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tetapi hari ini sudah ada beberapa universiti menerima sijil vokasional TVET ini untuk kelangsungan pelajar bidang ini.
“Jadi, kita bercadang untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggubal dasar baharu supaya pelajar boleh membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada Tingkatan 1,” katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Perdana Menteri berkata, secara khususnya, kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti pada tahun 2020 juga adalah 94.2 peratus yang merupakan nilai paling tinggi antara institut latihan kemahiran awam yang ada di Malaysia.
“Saya percaya, tenaga-tenaga mahir yang dilahirkan program TVET berupaya memberikan satu anjakan perubahan yang konkrit. Sudah banyak contoh yang membuktikan TVET mampu melahirkan pekerja mahir yang terlatih serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Jelas beliau, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) juga perlu mempergiat pelbagai program dalam mendekati komuniti setempat terutama golongan belia bagi memastikan kursus ditawarkan memenuhi kehendak dan keperluan semasa.
“Saya minta JPPKK secara berterusan mengadakan libat urus bersama kepimpinan masyarakat setempat untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang komuniti perlukan begitu juga kursus ditawarkan mesti dipadankan dengan industri di sekitar.
“Jadi, tidak timbul masalah ketidakpadanan antara kerja dan kursus ditawarkan daripada situ barulah kita boleh rangka dan laksanakan program komuniti yang bersesuaian,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan sebanyak empat kolej komuniti di Johor iaitu Kolej Komuniti Bandar Tenggara, Pagoh, Parit Sulong dan Simpang Renggam akan dinaik taraf kepada kampus tetap dengan membabitkan kos peruntukan bernilai RM61.2 juta. – UTUSAN










