Tuntutan Waris Sulu: Polis tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman luar - Utusan Malaysia

Tuntutan Waris Sulu: Polis tingkat kesiapsiagaan hadapi ancaman luar

IDRIS Abdullah (tengah) menyaksikan pertukaran jawatan antara Abdul Rahman Kassim (kiri) kepada Ang Seow Aun (kanan) di IPK Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di kawasan perairan pantai timur Sabah susulan isu tuntutan pampasan RM62.59 bilion oleh waris Sultan Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya telah mengarah dan menggerakkan semua elemen bagi melipatgandakan tahap kesiapsiagaan di perairan Sabah untuk berhadapan kemungkinan berlaku ancaman luar yang boleh mengganggu ketenteraman dan kedaulatan negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada ancaman yang dikesan namun apabila isu pampasan tersebut dibangkitkan ia akan menimbulkan provokasi dalam kalangan pihak yang ingin menuntut Sabah.

“Keadaan sekarang seolah-olah menaikkan semula semangat mereka yang dahulunya berniat untuk menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada negara mereka.

“Situasi ini meningkatkan sentimen mereka dan itu yang kita risau. Pada asalnya, isu ini sudah senyap dan sunyi. Apabila ditimbulkan semula, ia mewujudkan satu provokasi kepada mereka yang berniat mengambil tindakan terhadap Sabah secara militan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas pegawai kanan IPK Sabah hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, rakyat Sabah tidak perlu gusar tentang perkara itu kerana secara tradisinya setiap kali pilihan raya Presiden Filipina diadakan, isu tuntutan terhadap Sabah pasti akan timbul.

Pilihan Raya Presiden di negara jiran itu dijadualkan pada Mei ini.

“Maka, saya mohon kepada masyarakat di Sabah dan Malaysia supaya jangan gusar tentang perkara ini.

“Setakat ini, tiada apa-apa ancaman diterima dan semua aktiviti berjalan seperti biasa termasuk aktiviti ekonomi yang sedang rancak. Semua industri bergiat aktif semula. Saya mohon mereka meneruskan kegiatan harian seperti sediakala. Tidak perlu takut dan bimbang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, pihaknya akan menyemak semula kawasan yang terlibat dalam Perintah Berkurung di Sabah.

Namun, perkara itu akan mengambil kira pandangan peringkat tertinggi di Bukit Aman serta penglibatan agensi penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia supaya semua pandangan diambil kira secara kolektif.

Dalam majlis itu, tiga pegawai kanan yang bertukar dan memegang jawatan baharu ialah Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/ Perundangan); Asisten Komisioner Abdul Rahman Kassim sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti; dan Asisten Komisioner Ang Seow Aun sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau akan diambil alih oleh Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

Isu pampasan waris Sultan Sulu timbul susulan laporan agensi berita Sepanyol bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 maka Malaysia dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN