KUALA TERENGGANU: Terengganu diminta mempertimbangkan cadangan penubuhan pusat pemurnian akidah dan akhlak bagi menempatkan pesalah syariah wanita di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor berkata, kewujudan pusat dikenali sebagai Baitul Iman itu tepat pada masanya kerana hingga kini masih belum ada kemudahan berkenaan ditubuhkan di Terengganu.
Katanya, ketika ini semua pesalah syariah wanita ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor manakala bagi lelaki pula di Baitul Iman, Ulu Yam dalam daerah sama.
“Perjalanan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor tentunya memakan masa panjang dan jarak yang jauh, bahkan pesalah terpaksa berdepan dengan risiko kemalangan jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat.
“Jika Baitul Iman diwujudkan di negeri ini secara tidak langsung kos tanggungan juga dapat dijimatkan,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Kebanyakan kes kesalahan yang dihantar ke pusat pemulihan adalah berkaitan khalwat, persetubuhan luar nikah, minum minuman yang memabukkan dan lelaki berlagak perempuan.
Zuraida berkata, penubuhan pusat pemulihan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 66 (Penetapan Pusat Pemulihan atau rumah diluluskan) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001.
Katanya, berdasarkan peruntukan Seksyen 97 (2) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu, memperuntukkan Mahkamah Syariah boleh memerintahkan pesalah ditahan di satu rumah kebajikan yang diluluskan oleh majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Beliau sekali gus yakin kerajaan negeri akan menyediakan modul pemantapan akidah dan akhlak yang terbaik untuk pesalah wanita jika Baitul Iman beroperasi kelak. – UTUSAN










