KOTA BHARU: Banjir buruk yang melanda jajahan Pasir Mas sejak Jumaat lalu bukan berpunca dari Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 sebagaimana didakwa penduduk.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara sebaliknya yang berlaku ialah projek pembinaan ban tersebut sebenarnya telah berjaya mengurangkan impak buruk akibat banjir.
Menurutnya, data terkini menunjukkan Fasa 1 telah berjaya menyelamat 38 buah kampung di kawasan Tumpat dengan bilangan penduduk berpindah dari 4,000 orang kepada 300 orang sahaja.
“Malah ketika banjir yang berlaku pada bulan Dismber 2021, tiada langsung kejadian banjir di Tumpat. Pembinaan Fasa 1 sekarang telah mengambil kira kawasan paling rendah (hilir) dan mudah dilimpahi air Sungai Golok berbanding Fasa 2 di bahagian utara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tuan Ibrahim memberitahu, Fasa 2 projek itu kelak meliputi Bandar Rantau Panjang, Kampung Lanchang sehingga ke Ayer Lanas, sebagai penyelesaian menyeluruh kepada masalah banjir akibat limpahan air Sungai Golok.
“Pembinaan ban seperti sebelah Thailand telah diluluskan dan rekabentuk sedang dilaksanakan dalam bahagian kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Selain itu, pam-pam bergerak akan mula dipasang di kawasan terkesan untuk mempercepatkan air banjir dikeluarkan dari penempatan penduduk,” ujarnya.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, hujan lebat luar biasa sebenarnya menjadi punca banjir besar selain limpahan air Sungai Golok.
Terdahulu tular di media sosial keluhan penduduk yang mendakwa bah besar melanda sekitar Pasir Mas kali ini adalah berpunca daripada projek tebatan tersebut yang kini dilaksanakan secara berperingkat. – UTUSAN










