KUALA LUMPUR : Anak kepada usahawan sensasi, Aliff Syukri iaitu Qadejah El Zahra tampil menjelaskan sikap bapanya yang gemar berlari di dalam rumah sehingga mencuri perhatian ramai sebelum ini.
Qadejah atau mesra disapa Cess berkata, perlakuan tersebut bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan bapanya seorang yang sangat aktif, malah seluruh ahli keluarga perlu menyaingi tahap tenaganya.
“Abah tetap Abah. Dia sendiri beritahu rumah kami seluas 28,000 kaki persegi. Jadi memang boleh dikatakan, kalau lambat di rumah Abah, memang susah hendak bertahan.
“Walaupun rumah besar, kami tetap perlu berlari kerana Abah seorang yang sangat aktif. Semua orang kena ‘match’ tenaga dia,” katanya.
Menurutnya, dia sendiri tidak pasti bagaimana mampu menyesuaikan diri, namun mengakui sudah terbiasa sejak kecil hidup dalam suasana sedemikian.
“Saya pun tak tahu macam mana nak tandingi tenaga dia, tetapi kena juga sebab dari kecil dah biasa.
“Kalau pekerja lambat, semua akan berlari. Kalau berjalan perlahan, jangan terkejut Abah akan kejar,” ujarnya berseloroh.
Dalam pada itu, Qadejah turut memaklumkan sikap bapanya yang tidak gemar dengan kelembapan turut mempengaruhi cara komunikasi mereka sekeluarga.
“Abah memang tidak suka orang lembap. Sebab itu kami bercakap laju. Kalau bercakap atau berjalan perlahan, memang akan ‘kena’,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang individu mempersoalkan tindakan Aliff Syukri yang dilihat sering berlari ketika sesi siaran langsung bersama pelakon Azar Azmi.
Menjawab persoalan itu, beliau menjelaskan tindakan berkenaan berpunca daripada keluasan kediamannya yang mencecah 28,000 kaki persegi.










