PETALING JAYA: Hampir enam juta penduduk di Lembah Klang yang mendapatkan bekalan air bersih dari sumber Sungai Kuala Selangor dan Sungai Langat berdepan risiko menggunakan air tercemar apabila kedua-dua sungai tersebut dilihat terdedah kepada aktiviti domestik dan perindustrian.
Tinjauan Utusan Malaysia yang menelusuri kedua-dua sungai berkenaan baru-baru ini mendapati, wujud aktiviti perindustrian di kawasan berhampiran selain terdapat lokasi mencurigakan seperti pembuangan sisa tercemar di sepanjang kedua-dua sungai berkenaan.
Berdasarkan pengamatan, selain pencemaran efluen, terdapat banyak timbunan sampah sarap yang tidak terurus di kedua-dua lembangan sungai selain sampel air yang diambil didapati tidak jernih, berkeladak, kehitaman dan berminyak.
Jika langkah pencegahan tidak dilakukan segera, Sungai Langat dan Sungai Selangor berisiko menerima nasib seperti Sungai Klang yang tercemar teruk.
Sungai Langat
Tinjauan bermula dari pekan Sungai Manggis, Kuala Langat menuju ke hulu sehingga di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dengan menaiki bot.
Di sepanjang perjalanan sejauh hampir 20 kilometer (km) itu, antara penemuan yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran sungai berlaku adalah kewujudan kawasan perindustrian yang terlalu hampir dengan tebing sungai.
Turut ditinjau adalah anak Sungai Langat iaitu Sungai Manggis dan mendapati terdapat saluran paip dari kawasan kilang di Mahkota Industrial Park, Banting disalurkan terus ke sungai berkenaan.
Kira-kira sembilan km dari sana pula, terdapat pembinaan perumahan dan kilang dipercayai untuk industri kitar semula dan pembuatan kertas.
Di kawasan perindustrian berdekatan dengan Kampung Labohan Dagang dan Olak Lempit, Kuala Langat, kira-kira 13 km dari Sungai Manggis, terdapat 11 kapal pengangkut atau tongkang ditemukan di kawasan berkenaan.
Aktiviti korek pasir juga dikesan di sepanjang sungai sehingga berhampiran muka sauk LRA Labohan Dagang.
Berhampiran muka sauk LRA Labohan Dagang, terdapat sisa air korek pasir berwarna kelabu keruh dan berbau ditemukan dilepaskan secara terus dari tapak galian ke dalam sungai.
Kemudian, tinjauan diteruskan melalui jalan darat di tebing-tebing sungai berhampiran kawasan industri seperti di Kampung Rancangan Tambahan Belia (RTB) Bukit Changgang.
Terdapat timbunan sampah yang dikumpulkan melalui perangkap di tebing Sungai Langat, agak mengejutkan sampah berkenaan dilihat seperti tidak diurus dengan baik serta dibiar terlalu lama.
Kawasan perindustrian yang terletak di seberang kampung berkenaan terdapat longkang disalurkan terus ke Sungai Langat dengan keadaan airnya berwarna hitam dan berbau.
Di kawasan Dengkil, terdapat aktiviti pengumpulan sampah haram berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Dugang apabila pelbagai jenis sisa domestik dan pepejal dibuang berdekatan dengan tebing Sungai Langat.
Situasi sama turut berlaku di Sungai Langat dalam kawasan Hulu Langat apabila terdapat ribuan kawasan perumahan dan perindustrian berdekatan dengan tebing sungai seperti Kajang iaitu Taman Sri Intan, Jalan Reko, Taman Perindustrian Fimas dan Kawasan Perindustrian Cheras Jaya.
Di Batu 14, wujud kawasan perindustrian berhampiran sungai berkenaan berdekatan Jalan Sungai Tekali yang terletak tidak jauh dari tapak pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
– Sungai Selangor
Berbanding Langat, Sungai Selangor arusnya kelihatan lebih deras dan tinjauan di sungai adalah bermula dari LRA Sungai Selangor berhampiran dengan Takungan Air Hibrid Luar Sungai (HORAS) 600.
Kawasan berkenaan merupakan antara tumpuan pemancing di Sungai Selangor, namun jelas kedengaran bunyi mesin dari sebuah kilang pemprosesan minyak sawit dan biogas yang beroperasi dekat bahagian seberang iaitu di Ladang Tennamaram terletak kira-kira 200 meter dari tebing sungai.
Tidak banyak kawasan industri terletak berhampiran Sungai Selangor, namun terdapat beberapa pembuangan sisa daripada premis seperti pusat dipercayai ternakan ayam mencurigakan apabila terletak pada anak sungai yang mengalir terus ke Sungai Selangor.
Sebagai contoh, sebuah pusat ternakan yang terletak di Jalan Timur Tambahan, 8 km dari Universiti Industri Selangor (Unisel), Bestari Jaya. Pusat ternakan berkenaan terletak bersebelahan anak sungai yang mengalir kira-kira 8 km ke Sungai Selangor, sementara muaranya pula terletak hampir 2 km dari LRA Sungai Selangor.
Kemudian, kira-kira 6.5 km dari LRA Sungai Selangor atau 3 km dari LRA Rantau Panjang, tidak jauh dari muara anak sungai terdapat kawasan perangkap sampah yang mana di seberangnya terletak sebuah lagi pusat dipercayai ternakan haiwan kira-kira 50 meter dari tebing.
Lebih mencurigakan, pada jarak 7 km dari Jalan Rawang – Bestari menuju ke kawasan HORAS 3000, terdapat aktiviti korek pasir berhampiran Sungai Selangor serta terdapat lorong-lorong tikus berhampiran tebing yang memungkinkan kejadian pembuangan sisa terlarang tanpa diketahui pihak berkuasa.
Jalan untuk memasuki pusat ternakan dan HORAS 3000 di Hulu Selangor itu adalah tidak bertar dan ketika tinjauan terdapat beberapa lori kecil dan pengangkut pasir keluar dan masuk di laluan berkenaan.
Bagaimanapun, sepanjang 20 km dari LRA Sungai Selangor mudik ke hulu, kawasan berhampiran sungai kebanyakannya terdiri daripada ladang, hutan dan beberapa kawasan perumahan seperti Kampung Rantau Panjang dan Bukit Tarek.
Namun, situasi sebenar risiko berlaku pencemaran bukanlah dalam lingkungan itu, sebaliknya terdapat kawasan perindustrian di Kundang, Rawang terletak terlalu hampir dengan Sungai Kundang yang bersambung dengan Sungai Guntong dan Sungai Selangor.
Kawasan ini pernah dilapor berlaku pencemaran sekitar berpunca daripada sebuah kilang di Kundang serta limpahan daripada loji kumbahan pada 2020 yang mana lokasi berkenaan terletak kira-kira 20.6 km dari LRA Rantau Panjang. – UTUSAN










