SEREMBAN: Jabatan Pertanian menyokong usaha dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan ternakan alternatif untuk ayam dengan penggunaan hampas kelapa sawit.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hasan berkata, apabila berlaku kenaikan harga ayam memang ia (makanan ternakan alternatif) menjadi isu yang akan dibangkitkan.
“Jadi apa jua yang dicadangkan, kami menyokong selagi ia dapat kurangkan kos pengeluaran tetapi perlu buat kajian sama ada ia bersesuaian atau tidak.
“Kalau kajian itu dapat menghasillan produk yang setanding dengan makanan ayam yang asal iaitu soya, jagung dan sebagainya, kami terima dan menyokong sepenuhnya cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Sistem GeoTanaman Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pakar Ternakan Ayam UPM, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus untuk menggunakan hampas kelapa sawit yang mempunyai karbohidrat tinggi dan boleh menggantikan jagung dan kacang soya dalam pembuatan makanan ayam.
Selain hampas sawit, beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan program menggalakkan pengusaha menggunakan larva serangga ‘black soldier fly’ (BSF) dalam penghasilan dedak ayam.
Menurut Zahimi, UPM merupakan sebuah badan penyelidik dan universiti awam yang sentiasa menghasilkan teknologi serta inovasi.
“Apa juga yang boleh membantu dalam meningkatkan pengeluaran bahan makanan bukan sahaja makanan ternakan, kami selaku jabatan menyokong sepenuhnya,” katanya lagi. – UTUSAN










