Sindiket ‘Ulat Jaket’ kaut keuntungan RM40,000 seminggu tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket ‘Ulat Jaket’ kaut keuntungan RM40,000 seminggu tumpas

ZAILANI Hashim (tengah) menunjukkan sebahagian kereta yang disita selepas sidang akhbar Op Ulat JPJ Negeri Selangor di Pejabat JPJ KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Berperwatakan menarik, kemas dan berpakaian jaket untuk memancing pelancong khususnya dari Asia Barat untuk mendapatkan pakej percutian yang ditawarkan dengan harga murah.

Itu antara modus operandi yang diguna pakai sindiket yang dikenali Ulat Jaket selain menawarkan pelbagai kemudahan mewah termasuk kenderaan yang disewa untuk lawatan ke beberapa lokasi menarik.

Tawaran murah itu kemudiannya bertukar meningkat berlipat kali ganda dari harga sebenar sekali gus membolehkan sindiket yang didalangi warga tempatan itu mampu meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM40,000 seminggu.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu berjaya ditumpaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Ulat (Op Ulat) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, Ulat Jaket itu akan menjadikan pelancong Asia Barat sebagai mangsa kerana melihat trend kemasukan pengembara dari negara itu akan tiba sekitar Mei hingga Julai.

“Kalau kita tengok tawaran syarikat pelancongan, ia jauh lebih murah tetapi mereka ini akan kenakan bayaran terlalu tinggi dan itu kita tak mahu berlaku kepada pelancong Asia Barat. Ini akan memberi imej tidak baik kepada Malaysia, dengan caj bayaran berlebihan seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar Op Ulat KLIA, di sini hari ini.

Zailani berkata, JPJ negeri Selangor juga telah melakukan 14 tangkapan ke atas mereka yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di KLIA dan KLIA2 bermula 8 Mac hingga semalam.

“Tangkapan ini melibatkan 14 orang pemandu di mana 11 daripadanya menggunakan kenderaan persendirian dan tiga lagi menggunakan teksi. Ulat ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan KLIA dan KLIA2 dengan mengenakan bayaran penghantaran tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau limo iaitu antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan statistik dari 2018 hingga bulan ini adalah berjumlah 347 tangkapan ulat dilakukan membabitkan 72 kes (2018), 177 kes (2019) 52 kes (2020), 24 kes (2021) dan sehingga bulan ini adalah sebanyak 22 kes tangkapan.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 tau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atar kedua-duanya jika sabit kesalahan. Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ulat ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) dibawah akta yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN