Sanusi cabar lapor SPRM tuduhan rasuah RM4 juta babitkan UniSHAMS - Utusan Malaysia

Sanusi cabar lapor SPRM tuduhan rasuah RM4 juta babitkan UniSHAMS

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang melahirkan rasa kesal dengan dakwaan tersebut yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam berkata, tuduhan berkenaan terlalu berat serta menjejaskan reputasi universiti milik kerajaan negeri itu.

“Ada tuduhan pihak konsultan di UniSHAMS, meminta wang RM4 juta untuk mendapatkan projek pembinaan asrama universiti. Sedangkan ketika ini masih belum keluar lagi RFP (permintaan untuk proposal) bagi pembinaannya. RFP ini hanya akan dikeluarkan pada Mei nanti.

“Tetapi dituduh meminta wang kepada syarikat yang berminat untuk dapat projek pembinaan asrama ini. Dakwaan ini terlalu berat yang tidak dapat dijawab oleh pihak universiti dan konsultan. Ia menjejaskan reputasi UniSHAMS sebagai universiti Islam dan konsultan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas sesi penggulungan beliau dalam sidang DUN Kedah di sini hari ini.

Terdahulu, ketika sesi penggulungan pada sidang DUN hari ini, Muhammad Sanusi  turut melahirkan kekecewaan dengan beranggapan tuduhan berkenaan tidak wajar dibawa ke sidang DUN itu.

Dakwaan rasuah tersebut dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said ketika sesi DUN semalam yang menuntut penjelasan terhadap khabar angin terbaharu tentang universiti itu.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, tidak wajar tuduhan rasuah dibangkitkan pada sidang DUN tersebut.

“Khidmat nasihat untuk reka bentuk asrama universiti berkenaan juga diberikan secara percuma oleh konsultan terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN