PETALING JAYA: Sebanyak 81,079 kes rakyat Malaysia terlibat dalam penipuan siber membabitkan kerugian RM1.52 bilion dalam tempoh empat tahun sejak 2018.
Penipuan telekomunikasi termasuk Macau Scam mencatat bilangan paling tinggi iaitu 23,161 kes membabitkan nilai kerugian RM986.9 juta.
Ini diikuti pelaburan berjumlah RM827.6 juta dengan membabitkan 6,894 kes.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, selain itu sebanyak 22,282 kes penipuan e-dagang atau pembelian dalam talian dengan kerugian RM166.5 juta serta 19,814 kes pinjaman tidak wujud bernilai RM196 juta.
Beliau berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 6,284 kes berkaitan Love Scam (RM304.8 juta) dan 2,804 penipuan kewangan (e-financial fraud) berjumlah RM277.9 juta direkodkan polis.
Jelas beliau, walaupun pelbagai peringatan dan usaha dijalankan pihaknya serta beberapa agensi berkaitan namun kes penipuan siber semakin meningkat dalam tempoh empat tahun ini.
“Ramai lagi masih ditipu kerana terpedaya dengan tawaran dalam talian dan kurang peka dengan jenayah siber.
“Malah bagi penipuan Macau Scam, identiti mangsa beserta kad pengenalan yang disebut sindiket dengan tepat menyebabkan individu panik dan ditipu,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Kamaruddin berkata, pihaknya giat melakukan usaha untuk membanteras jenayah siber namun beberapa kekangan dihadapi bagi mengesan penjenayah siber.
Katanya, kesukaran industri telekomunikasi untuk mengesan punca panggilan yang diterima oleh mangsa ekoran tiada kemudahan disediakan bagi mengesan panggilan Suara Melalui Protokol Internet (VOIP) serta penggunaan maklumat atau identiti palsu bagi pendaftaran nombor prabayar dan talian VOIP.
Ujar beliau, ekoran penggunaan akaun bank yang berulang sehinggakan sindiket mula menukar dari penggunaan akaun peribadi kepada akaun semasa (perniagaan).
“Pihak polis juga berdepan cabaran bagi menjejaki pemilik akaun akibat penggunakan kaedah layering bagi memindahkan wang mangsa dari satu akaun kepada akaun yang lain,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Mohd. Kamaruddin berkata, pelbagai langkah telah diambil JSJK antaranya menyekat nombor-nombor telefon yang digunakan bagi tujuan penipuan melalui Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) dan syarikat penyedia perkhidmatan telefon.
Selain itu, beliau berkata, kempen kesedaran berkenaan kes-kes penipuan melalui panggilan telefon atau macau scam turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan penipuan komersial.
“Kita turut menyekat penggunaan akaun bank (akaun keldai) yang digunakan oleh suspek bagi mangsa yang telah terpedaya bagi memindahkan wang atau memasukkan wang.
“Laman web ‘Semak Mule’ diwujudkan bagi kemudahan orang awam membuat semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon yang pernah ada laporan polis atau terlibat dengan siasatan pihak polis,” katanya. – UTUSAN










