SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk memberi keterangan palsu di Mahkamah Kuala Lumpur, pada 10 tahun lalu.
Tertuduh, Low Khim Seong, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa meminta suapan RM500,000 pada 14 Mei 2012 daripada seorang peguam berpangkat Datuk sebagai dorongan untuk memberi keterangan palsu.
Dia dipujuk supaya memberikan keterangan yang memihak kepada peguam berkenaan dan seorang lagi lelaki, yang terlibat dalam perbicaraan kes dihadapinya.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM450,000 daripada peguam tersebut untuk tujuan sama.
Kesemua jumlah suapan yang diminta adalah sebanyak RM950,000, walau bagaimanapun hanya RM450,000 yang sudah diterimanya iaitu pada 16 dan 24 Mei 2012.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Petaling Jaya dan Dataran Mentari, Bandar Sunway.
Dia dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab menawarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, bagi kesemua pertuduhan.
“Jumlah itu adalah munasabah kerana dia berdepan tiga pertuduhan yang serius dan ia akan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah hingga kes selesai.
“Pendakwaan juga memohon agar dia dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan passport kepada mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent merayu, agar mahkamah dapat memberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan anak-anak.
“Kami akur dengan syarat yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun memohon agar penyerahan passport dapat dibuat pada 20 Mei depan.
“Ini kerana anak guam saya perlu menemani ibunya ke China untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
“Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan berhubung serahan pasport tersebut,” ujarnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk perbicaraan dan serahan dokumen.-UTUSAN










