'Rasa ada konspirasi untuk kenakan Bung Moktar, Zizie' - Saksi - Utusan Malaysia

‘Rasa ada konspirasi untuk kenakan Bung Moktar, Zizie’ – Saksi

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia merasakan terdapat konspirasi untuk mengenakan pasangan itu.

Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, dia mempunyai tanggapan begitu sewaktu disoal siasat pada kali pertama pada 22 Jun 2016 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah saksi pendakwaan ke-25 ketika disoal oleh peguam bela, Datuk N. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, dia juga merasakan segala keterangan yang diberikan pada sesi soal siasat itu telah ‘dibakulsampahkan’ oleh beberapa pegawai SPRM yang menyoalnya.

Kumaraendaran: Mereka (pegawai SPRM) ‘rubbish‘ segala keterangan kamu dan mengatakan keterangan itu karut.

Norhali: Saya tidak pasti ayat (sebenar) itu tetapi ia berbunyi seperti itu.

Kumaraendran: Setuju kalau saya katakan awak berasa sangat tertekan, beremosi, terganggu apabila pegawai-pegawai (SPRM) ini menyuruh kamu mengaku bahawa Bung Moktar dan Zizie menerima rasuah berkaitan dengan pelaburan unit amanah Felcra itu.

Norhaili: Ya.

Kumaraendran: Setuju kalau saya katakan, dalam fikiran kamu pada ketika itu seolah-olah terdapat konspirasi untuk mengenakan Bung Moktar dan Zizie.

Norhaili: Ya, saya merasakan sedemikian sebab seperti saya katakan tadi masa hari pertama saya beri keterangan macam apa yang saya cakap langsung tidak diterima.

Saksi tersebut berkata demikian dalam prosiding yang dijalankan mengikut Seksyen 154 Kata Keterangan 1950 selepas pendakwaan mendakwa saksi tersebut telah belot kerana memberikan keterangan yang bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat oleh SPRM.

‘Pembelotan’ itu didakwa berlaku pada perbicaraan kes Bung Moktar selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015 di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Terdahulu, ketika disoal oleh peguam bela, Ridha Abdah Subri, saksi berkenaan memberitahu dia telah memberikan keterangan panjang lebar ketika disoal balas kepada pegawai-pegawai SPRM tetapi apabila pemeriksaan laporan dibuat, `tidak semua keluar’.

“Bila cerita (beri keterangan) panjang kita cerita tetapi pada penghujung harinya, bila tengok report (laporan) tak semua dikeluarkan. Ada beberapa perkara yang tidak ada dalam report itu,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Norhaili memberitahu, dia ingin memberikan cerita sebenar sejak mula disoal siasat tetapi tidak mempunyai sebarang kekuatan.

“Sekitar 2021, saya pernah dipanggil oleh SPRM tetapi ketika itu saya tidak berjumpa dengan pegawai SPRM tetapi salah seorang ahli pasukan pendakwaan, seorang wanita bertudung labuh. Sewaktu disoal oleh pendakwaan, masa itu saya berpeluang untuk menceritakan segalanya. Cerita pertemuan di Hotel Intercontinental itu tidak benar,” katanya dalam keadaan sebak.

Norhaili kemudian telah membuat pindaan terhadap keterangan yang diberikan kepada SPRM sekitar Februari 2021 selepas wanita yang dikatakan daripada pasukan pendakwaan itu menyatakan bahawa dia boleh dihukum penjara atau didenda sekiranya didapati memberikan keterangan palsu di mahkamah.

Jelas wanita terbabit, Zizie atau Bung Mokhtar tidak pernah pada bila-bila masa meminta sebarang balasan, komisen atau upah yang berkaitan dengan pelaburan unit amanah Felcra tersebut.

Tambahnya, dia ingin mengekalkan keterangan yang telah diberikan di mahkamah sebelum ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 28 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya