Swiatek temui rentak di Roland Garros

Swiatek temui rentak di Roland Garros

Iga Swiatek membalas bola pukulan lawannya, Emerson Jones dalam tenis Terbuka Perancis di Roland Garros, Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pemain Poland, Iga Swiatek memberi amaran awal kepada pencabar lain apabila memulakan kempen Terbuka Perancis 2026 dengan kemenangan bergaya untuk mara ke pusingan kedua di Roland Garros, semalam.

Juara empat kali itu langsung tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain muda Australia, Emerson Jones 6-1, 6-2 dalam tempoh hanya 60 minit sekali gus membuktikan sentuhannya di gelanggang tanah liat Paris masih belum pudar.

Kemenangan tersebut hadir dalam penampilan Grand Slam pertamanya bersama jurulatih baharu, Francisco Roig yang sebelum ini terkenal sebagai bekas jurulatih legenda Sepanyol, Rafael Nadal.

“Saya sangat gembira dengan cara saya bermain hari ini kerana semuanya berjalan lancar dari awal hingga akhir.

“Saya tahu secara teknikal bagaimana untuk mengawal permainan dan itu membuatkan saya lebih yakin,” kata Swiatek.

Turut mencuri perhatian ialah pilihan kedua kejohanan, Elena Rybakina yang mudah menewaskan pemain Slovenia, Veronika Erjavec 6-2, 6-2 dalam cuaca panas mencecah 32 darjah Celsius.

“Keadaan memang sukar tetapi saya gembira semuanya menjadi dan sekarang saya sudah tidak sabar untuk perlawanan seterusnya,” kata Rybakina.

Sementara itu, pemain Ukraine, Elina Svitolina hampir menerima padah sebelum bangkit menundukkan Anna Bondar 3-6, 6-1, 7-6 untuk meneruskan rekod sempurna tidak pernah tewas pada pusingan pertama Roland Garros sejak 13 penampilan lalu.

Dalam saingan lelaki, bekas juara 2015, Stan Wawrinka menamatkan penampilan terakhirnya di Roland Garros dengan penuh emosi selepas tewas kepada Jesper de Jong, sekali gus mengakhiri perjalanan legenda Switzerland itu di bumi Paris. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN