PARIS: Pemain No.1 dunia, Jannik Sinner menerima ‘hadiah awal’ menjelang Roland Garros 2026 apabila mendapat undian mudah dalam undian Terbuka Perancis.
Jaguh Itali tersebut bakal memulakan kempen menentang pemain wildcard tuan rumah, Clement Tabur sebelum dijangka hanya menerima tentangan sebenar di pusingan lebih jauh.
Mengikut ranking semasa, Sinner berpotensi bertemu pemain Perancis, Corentin Moutet di pusingan ketiga sebelum berdepan wakil Kanada, Felix Auger-Aliassime pada separuh akhir.
Situasi itu nyata berbeza dengan nasib legenda Serbia, Novak Djokovic yang diundi di laluan jauh lebih mencabar dalam usaha memburu gelaran Grand Slam ke-25 kariernya.
Djokovic akan membuka kempen menentang pakar servis Perancis, Giovanni Mpetshi Perricard sebelum berpotensi bertemu sensasi muda Brazil, Joao Fonseca seawal pusingan ketiga.
Cabaran bekas No. 1 dunia itu dijangka semakin getir apabila finalis 2024, Alexander Zverev dan naib juara dua kali Roland Garros, Casper Ruud turut berada dalam laluan sama.
Dalam saingan wanita, juara bertahan Coco Gauff memulakan kempen menentang rakan senegara, Taylor Townsend.
Sementara itu, pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka bakal berdepan wakil Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro.
Turut menjadi perhatian ialah kemungkinan pertemuan separuh akhir antara Gauff dan Sabalenka yang mengulangi final musim lalu.
Dalam pada itu, juara empat kali Roland Garros, Iga Swiatek dijangka menerima ujian besar daripada Elina Svitolina di suku akhir. – AGENSI










