PARIS: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka hadir ke Terbuka Perancis dengan status pilihan utama, namun rentak goyah yang mula menghantui kempen musim tanah liatnya membuka ruang buat pencabar lain mencetuskan kejutan di Roland Garros.
Juara empat Grand Slam itu sebelum ini tampak sukar digugat apabila mendominasi aksi awal musim termasuk menjuarai kejohanan di Indian Wells dan Miami, sekali gus mencetus amaran awal bahawa dia mampu menawan gelanggang tanah liat Paris buat kali pertama.
Namun, kekalahan mengejut di suku akhir Terbuka Madrid kepada Hailey Baptiste diikuti penyingkiran awal di Terbuka Itali oleh Sorana Cirstea menimbulkan persoalan sama ada Sabalenka benar-benar bersedia memburu kejuaraan sulung Roland Garros.
“Saya rasa badan saya agak membataskan prestasi di tahap tertinggi ketika ini, tetapi saya percaya setiap kekalahan adalah proses pembelajaran.
“Kami tidak pernah benar-benar kalah, sebaliknya belajar daripada apa yang berlaku dan saya akan cuba kembali lebih kuat di Paris,” kata Sabalenka.
Situasi itu menjadikan saingan wanita kali ini dilihat paling terbuka dalam beberapa tahun terakhir dengan beberapa nama besar mula menghidu peluang untuk merampas takhta pemain Belarus tersebut.
Pemain Kazakhstan, Elena Rybakina yang menewaskan Sabalenka di final Terbuka Australia awal tahun ini dilihat antara pencabar utama, selain bekas Ratu Tanah Liat, Iga Swiatek yang mula menunjukkan kebangkitan bersama jurulatih baharu, Francisco Roig.
Juara bertahan, Coco Gauff turut berada dalam radar selepas mempamer aksi konsisten di Rome, manakala pemain Ukraine, Elina Svitolina semakin berbahaya selepas menjuarai Terbuka Itali minggu lalu.
“Kejuaraan di Rome memberi keyakinan besar kepada saya menjelang Roland Garros, tetapi semua pemain hadir dengan misi untuk menewaskan antara satu sama lain.
“Tiada ruang untuk ambil mudah kerana setiap perlawanan di sini ibarat pertarungan besar,” kata Svitolina. – AGENSI










