Sabalenka cemas menjelang Terbuka Perancis

Sabalenka cemas menjelang Terbuka Perancis

Aryna Sabalenka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka mula dibayangi kebimbangan kecederaan menjelang Terbuka Perancis pada 18 Mei ini selepas mengakui tubuhnya tidak lagi mampu beraksi pada tahap terbaik.

Juara empat Grand Slam itu dilihat bergelut dengan masalah fizikal ketika aksi di Terbuka Itali sebelum tewas mengejut kepada Sorana Cirstea dalam pertarungan tiga set di Rome, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap kecergasannya menjelang aksi di gelanggang tanah liat Paris.

“Saya rasa badan saya mengehadkan prestasi saya daripada bermain pada tahap tertinggi dan itu sesuatu yang sangat sukar untuk diterima.

“Kemungkinan besar ia berpunca daripada bahagian bawah belakang yang bersambung dengan pinggul sehingga mengehadkan pergerakan putaran badan saya,” kata Sabalenka.

Situasi itu pastinya meresahkan kem Belarus memandangkan Sabalenka sebelum ini tampil cukup dominan di gelanggang keras menerusi kejuaraan di Brisbane selain muncul juara berturut-turut di Indian Wells dan Miami.

Lebih membimbangkan, kekalahan di Rome hadir hanya beberapa minggu selepas dia turut tersingkir awal di Madrid sekali gus memberi isyarat bahawa momentum pemain berusia 28 tahun itu semakin goyah ketika saingan Grand Slam kedua musim ini semakin hampir.

Sabalenka yang memburu gelaran sulung Terbuka Perancis selepas tewas di final tahun lalu kepada jaguh Amerika Syarikat (AS) Coco Gauff kini perlu segera mencari semula rentak terbaiknya sebelum kejohanan bermula. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×