SHAH ALAM: Bukan menjadi kesalahan untuk aktivis mahupun pemimpin politik hadir ke masjid atau surau sebagai tetamu pada bulan Ramadan tahun ini, asalkan mereka mempunyai tauliah sekiranya mahu berceramah.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof, semua orang boleh hadir ke masjid atau surau dengan syarat telah mengambil vaksin lengkap dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkenaan.
“Bagi aktivis politik yang tidak mempunyai tauliah mengajar agama mereka dilarang sama sekali untuk berceramah bukan sahaja pada bulan Ramadan malah pada masa lain sekalipun.
“Jika pemimpin politik dijemput sebagai tetamu, mereka boleh bercakap tentang perkara lain selain tentang agama dan politik selaras arahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.
Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada 32 aktivis politik di negeri ini berkuat kuasa 31 Disember ini.
Abdul Aziz berkata, perkara itu diputuskan MAIS yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak terutama di masjid dan surau.
Jelasnya, Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar itu diberikan kepada mana-mana aktivis politik bagi menjaga kesucian Islam di negeri ini.
Mengulas mengenai sama ada baginda Sultan Selangor akan melawat masjid sepanjang bulan Ramadan tahun ini beliau berkata, perkara tersebut masih belum disahkan.
“Kemungkinan baginda akan melawat masjid pada bulan Ramadan tahun ini selaras peralihan daripada pandemik kepada endemik.
“Mungkin lawatan diadakan terhad kepada masjid terpilih. Program baginda setakat ini difahamkan diadakan di masjid istana sahaja,” jelasnya. – UTUSAN










