PETALING JAYA: Seorang lelaki warga China yang dipercayai menjadi mangsa kurungan salah berjaya diselamatkan dalam serbuan polis di sebuah unit Airbnb di Sunway Velocity, Jalan Peel, Cheras pada 17 April lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikurung selama tiga hari sebelum diselamatkan kira-kira pukul 9 malam oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata mangsa dipercayai dijadikan ‘penjamin’ kepada rakan yang mempunyai hutang judi RM100,000.
“Siasatan awal mendapati mangsa dikurung oleh suspek selepas rakannya melarikan diri tanpa melunaskan hutang tersebut sebagai tekanan untuk mendapatkan bayaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hasil serbuan, dua lelaki tempatan berusia 30 tahun turut ditahan di lokasi kejadian bersama beberapa barangan termasuk kunci, kad akses dan telefon bimbit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.
“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan, manakala usaha mengesan dalang utama yang dipercayai masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya. – UTUSAN










