PETALING JAYA: Kerajaan kini mempergiatkan pelaksanaan projek infrastruktur untuk pemulihan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan yang bersetuju melaksanakan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan menambah baik projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Sarawak serta projek tebatan banjir turut menyumbang daya saing negara serta kesejahteraan rakyat.
Selain itu katanya, ia akan memacu pembangunan ekonomi khususnya objektif kerajaan untuk memperkasakan sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini.
“Kerajaan telah mengambil keputusan meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.
“Keutamaan pelaksanaan projek akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta pekerjaan untuk Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, berhubung Lebuh LPB Sabah dan Sarawak, fasa pertama sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej dengan kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.
“Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.
“Fasa pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786 kilometer (km) dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini. Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.
Katanya, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
“Kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya. – UTUSAN










