PETALING JAYA: Sebanyak 1,038 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan menerusi program Pemangkin Usahawan Sosial Hebat (PUSH) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, selain itu, program inisiatif pembangunan mikro-keusahawanan ini juga berjaya memberi kesan kepada ekonomi negara selepas berjaya memperoleh pendapatan RM8.07 juta termasuk penjimatan kos kerajaan.
“Program PUSH membuktikan bahawa perusahaan sosial mampu mencipta impak positif untuk meningkatkan kualiti kehidupan golongan berpendapatan rendah (B40).
“Kami berharap model perniagaan perusahaan sosial yang inovatif dan mampan ini akan terus dikembangkan dengan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi dan inovasi dalam ekosistem yang lebih kondusif,” katanya dalam Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Tahun Pengkormersialan Malaysia 2021 di sini hari ini.
PUSH merupakan program dibawah Mosti hasil kerjasama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan digerakkan 30 usahawan.
Program ini adalah satu inisiatif pembangunan kepada mikro-keusahawanan menerusi penyediaan latihan kemahiran dan pengetahuan kepada golongan komuniti B40 melalui proses perantis.
Dalam pada itu Adham berkata, program PUSH membuktikan perusahaan sosial mampu mencipta impak positif untuk meningkatkan kualiti kehidupan B40.
“Kementerian berharap model perniagaan perusahaan sosial yang inovatif dan mampan ini akan terus dikembangkan dengan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi dan inovasi dalam ekosistem yang lebih kondusif,” jelasnya. – UTUSAN










