Program Jualan Keluarga Malaysia akan diteruskan

Program Jualan Keluarga Malaysia akan diteruskan

ALEXANDER Nanta Linggi (kiri) ketika bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di NU Sentral, Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dijangka berakhir pada bulan ini akan dilanjutkan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sebelum ini menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melanjutkan program tersebut.

Jelas beliau, Perdana Menteri kemudian memaklumkan pihaknya dibenarkan untuk melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia berkenaan.

“Tetapi program ini perlu diperhalusi supaya ianya dilihat mudah dan menyeluruh.

“Namun sejak dilancarkan, PJKM telah mendapat sambutan menggalakkan apabila banyak wakil rakyat dan industri mahu bertemu dengan kita untuk menganjurkan program ini.

“Mulanya tidak dapat sambutan begitu, tetapi lama-kelamaan menerima sambutan apabila ramai lihat usaha ini dapat membantu rakyat untuk mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Pusat Membeli-Belah Nu Sentral di sini hari ini.

Program jualan itu yang dilancarkan pada 2 Disember 2021 menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih.

Usaha berkenaan menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus.

PJKM adalah kolaborasi di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta rakan strategik sektor peruncitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN