KUALA SELANGOR: Rakyat Johor yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini perlu menilai keberkesanan kepimpinan wajah yang diketengahkan dalam kempen oleh parti-parti bertanding.
Saranan itu diberikan selepas parti seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggunakan wajah pemimpin masing-masing walaupun mereka tidak bertanding dalam PRN Johor.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, cara kempen daripada parti itu menyebabkan mereka sendiri kemudian cuba mengaitkan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor dengan kluster mahkamah.
“Siapa posterman, dialah yang sepatutnya kita uar-uarkan, bukannya presiden parti. Jadi, itu sebab mereka menuduh pilihan raya ini ada kaitan dengan kluster mahkamah, itu tak betullah.
“Jadi, sebagai pemimpin parti, semua akan turun berkempen. Posterman, ini adakah patut, dia (Muhyiddin dan Dr. Mahathir) pun tak bertanding. Sepatutnya, bakal Menteri Besar yang perlu diuar-uarkan dan dijadikan sebagai posterman,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, tohmahan dilemparkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak wajar kerana mereka tidak bertanding dalam PRN.
Dalam kempen PRN Johor yang sedang berlangsung, parti-parti yang bertanding termasuk PN dan Pejuang dilapor menggunakan pemimpin mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Justeru, Noh menyeru rakyat Johor menilai dasar-dasar yang dilaksanakan serta penyelesaian masalah rakyat yang dilakukan ketika kedua-dua pemimpin itu menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN