Israel tolak bincang gencatan senjata Hizbullah dengan Lubnan - Utusan Malaysia

Israel tolak bincang gencatan senjata Hizbullah dengan Lubnan

KERETA-kereta kebal Israel ditempatkan di utara sepanjang sempadan Israel-Lubnan pada 8 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel menegaskan tidak akan membincangkan gencatan senjata dengan Hizbullah dalam rundingan bersama kerajaan Lubnan yang dijadual berlangsung minggu depan di Washington.

Menurut kenyataan, duta Israel dan Lubnan berhubung bagi menetapkan rundingan itu, yang akan bermula Selasa di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Duta Israel, Yechiel Leiter berkata, Israel bersetuju memulakan rundingan damai rasmi dengan kerajaan Lubnan, walaupun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Namun, beliau menegaskan Israel menolak sebarang perbincangan gencatan senjata dengan Hizbullah, yang disifatkan sebagai halangan utama kepada keamanan antara kedua-dua negara.

Israel sebelum ini melancarkan serangan besar-besaran dan pencerobohan darat ke atas Lubnan selepas menyerang Iran pada 28 Februari, sebagai tindak balas terhadap serangan roket Hizbullah ke wilayahnya.

Tanpa gencatan senjata dengan Hizbullah, rundingan itu dijangka tertumpu kepada desakan Israel agar kerajaan Lubnan mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut, yang sekian lama sukar dikawal oleh pihak berkuasa negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel menyatakan gencatan senjata antara AS dan Iran yang akan memulakan rundingan di Islamabad tidak melibatkan Lubnan.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan lebih 1,950 orang terbunuh dalam beberapa minggu konflik, dengan serangan Israel mengorbankan lebih 350 nyawa pada Rabu sahaja, hari pertama penuh gencatan senjata AS-Iran.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×