Polis buru pemandu tular 'buli' kenderaan lain

Polis buru pemandu tular ‘buli’ kenderaan lain

TANGKAP layar rakaman video yang tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (dalam bulatan merah) cuba menghimpit kenderaan lain di sebuah kawasan lebuh raya berhampiran sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda berwarna putih yang didapati memandu secara berbahaya dalam satu rakaman video yang tular di sini sejak petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 138.7 Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara berdekatan sebuah kilang di Perai.

Katanya, satu kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Sehubungan itu, polis memohon mana-mana pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04-5382222,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, rakaman video mengenai kejadian itu dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Jebat Maoc kira-kira pukul 2.49 petang semalam.

Dalam rakaman yang berdurasi lebih satu minit itu jelas menunjukkan pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit memandu secara berbahaya dan cuba ‘membuli’ kenderaan lain.

Akibatnya, kereta yang dihimpit oleh kenderaan itu terlanggar kon dan hampir terlibat dengan kemalangan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN