KUALA LUMPUR: RNG Tech Berhad (RNG Tech) menyasarkan untuk menempatkan sebanyak 1,570 buah kerusi urut layan diri baharu di seluruh rantau ASEAN dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Setakat 18 Mei lalu, kumpulan itu secara keseluruhan telah memiliki dan mengendalikan sebanyak 5,611 buah kerusi urut di bawah jenama terkenal “Rest N Go”.
Pengarah Urusan RNG Tech, Datin Sophia Tan berkata, bagi tempoh 12 bulan pertama, kumpulan merancang untuk memasang sebanyak 360 buah kerusi urut khusus di pasaran Malaysia, manakala baki 450 buah kerusi lagi akan diedarkan merentasi empat negara serantau.
“Pecahan bagi pasaran luar negara melibatkan penempatan sebanyak 200 buah kerusi di Thailand, masing-masing 100 buah di Singapura dan Kemboja, serta 50 buah lagi di Brunei.
“Fokus utama kami adalah di lokasi-lokasi yang mempunyai aliran trafik tinggi, terutamanya kawasan di mana orang ramai perlu menunggu seperti pusat membeli-belah, hab pengangkutan, serta lapangan terbang.
“Rangkaian kami sedia ada kini meliputi setiap negeri di Malaysia termasuk pasaran Sabah dan Sarawak, manakala kehadiran di negara-negara dengan populasi besar ini meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan terhadap penyelesaian kesejahteraan yang mudah diakses,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian kumpulan di sini.
Kumpulan pengendali kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia itu memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan dibuka pada harga 13 sen sesaham, iaitu tidak berubah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).
Saham tersebut kemudiannya meningkat sedikit kepada 13.5 sen dengan lebih 35 juta saham bertukar tangan pada pukul 9.05 pagi.
Daripada keseluruhan dana IPO sebanyak RM16.4 juta yang diraih, RNG Tech memperuntukkan RM4.9 juta (29.9 peratus) untuk pembukaan stesen RNG dan cawangan premium baharu, manakala RM2.2 juta (13.3 peratus) bagi menaik taraf stesen sedia ada.
Baki dana selebihnya digunakan untuk perbelanjaan pemasaran (RM1 juta), pembayaran balik pinjaman (RM3 juta), modal kerja (RM1.1 juta), serta membiayai kos penyenaraian (RM4.2 juta).
Bagi prestasi kewangan, kumpulan mencatatkan permulaan kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan meraih perolehan RM16.9 juta dan untung bersih RM3.4 juta.
Malaysia kekal sebagai pasaran terbesar dengan menyumbang 59.5 peratus kepada jumlah hasil, diikuti Thailand selaku pasaran luar negara terbesar (21.8 peratus) dan Singapura (12.8 peratus).
“Untung bersih suku pertama itu sahaja telah merangkumi lebih 50 peratus daripada keseluruhan untung bersih tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE 2025) yang mencatatkan RM6.0 juta daripada perolehan RM49.3 juta,” katanya.
Prestasi lonjakan luar biasa tersebut disokong oleh sumbangan tinggi dari pasaran Thailand, susulan kejayaan syarikat memenangi bidaan pada akhir 2025 untuk membuka stesen RNG di premis komersial kendalian Lotus Thailand dan Big C Thailand.
Sebagai komitmen untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pelabur, RNG Tech turut menetapkan polisi dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30.0 peratus daripada keuntungan bersih tahunannya kepada pemegang saham. – UTUSAN










