KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun telah menerima usul mengenai banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di ibu negara semalam dan memberi jaminan perkara itu dibahaskan di Dewan Rakyat.
Azhar Azizan berkata, beliau menerima notis mengenai usul itu daripada dua Ahli Parlimen iaitu Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada pukul 10 malam tadi dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sekitar 10 pagi ini.
Azhar Azizan menjelaskan, usul itu bagaimanapun tidak dibincang atau dibahaskan hari ini kerana memerlukan tempoh 24 jam untuk diteliti menurut Peraturan Mesyuarat 18 (2).
“Saya terima usul Yang Berhormat (Bukit Bintang) pada 10 malam tadi, jadi saya ada 24 jam ikut peraturan dan saya akan jawab hari ini. Usul Yang Berhormat Lembah Pantai dihantar pukul 10 pagi, saya ada sehingga esok.
“Tetapi secara preliminary, saya cadangkan perkara itu dibincangkan. Itu sahaja komen saya setakat ini tetapi saya tidak benarkan (dibahas) sekarang, kerana perlu tempoh 24 jam. Kalau saya benarkan, hanya satu sahaja,” katanya.
Terdahulu, sebelum sesi perbahasan Titah Diraja bermula, Kui Lun mengusulkan agar kejadian banjir kilat yang melanda banyak kawasan di Kuala Lumpur semalam dibahaskan segera, malah usul sama turut dibangkitkan dan disokong oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai. – UTUSAN