IPOH: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland di sini, diteruskan dengan mengalihkan bongkah batu dari lokasi kejadian.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu bagaimanapun menitikberatkan faktor keselamatan risiko seperti gelungsuran batu dan faktor cuaca.
Katanya, kali terakhir gelungsuran batu direkodkan adalah pada pukul 4 pagi semalam, namun ia pada berskala kecil.
“Operasi hari ini juga akan dilakukan secara berterusan berikutan cuaca yang baik dan tiada tanda-tanda gelungsuran batu dari struktur bukit yang telah ditanda oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai struktur yang lemah.
“Sekiranya operasi berjalan lancar, kita akan mengatur gerak Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi mengesan atau mengenal pasti lokasi sebenar mangsa yang terperangkap,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan penyelamat kini dalam keadaan siap siaga dengan pemantauan dilakukan pasukan elit bomba, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
“Bantuan jentera berat digunakan bagi melakukan kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sekiranya lokasi sebenar mereka telah dikenal pasti,” katanya.
Semalam media melaporkan, lima dron dari Unit Udara JBPM Perak digunakan dalam operasi mengesan dua mangsa namun tiada sebarang petunjuk positif diperoleh setakat ini.
Dron yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan mangsa yang tertimbus runtuhan pada kedalaman sembilan ke 12 meter.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN










