PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di sembilan buah negeri.
Menurut Met Malaysia, keadaan tersebut dijangka berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Sarawak.
“Ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kedah (Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling Kulim dan Bandar Baharu); Perak (Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim); Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera); Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat); WP Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan di Jelebu sehingga 7 malam, 9 Mac.
“Manakala keadaan sama dijangka akan berlarutan hingga 8 malam, 9 Mac di Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang); Selangor (Klang dan Petaling); Johor (Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru; Sarawak (Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau dan Sebauh),” katanya.
Tambah Met Malaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelasnya.
Met Malaysia juga turut mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sabah yang berada di tahap buruk dan waspada serta dijangka berterusan sehingga 10 Mac 2022.
Katanya, keadaan tersebut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah yang dibahagi kepada dua tahap berbeza.
“Bagi tahap buruk, hujan berterusan dijangka berlaku di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
“Manakala, bagi tahap waspada, hujan berterusan dijangka berlaku di Pantai Barat, Sabah,” katanya. – UTUSAN










