SEREMBAN: Siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini, Ahad lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, bagaimanapun motif kejadian belum diketahui.
“Perkembangan terbaharu kes ini, kami sudah menjejaki waris terdekat kerana ada individu yang mengaku. Berdasarkan hasil siasatan, mangsa merupakan rakyat tempatan dan berusia 29 tahun.
“Kertas siasatan kes berkenaan akan disiapkan tidak lama lagi kerana sedang menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Nanda menyampaikan sijil penghargaan kepada warga polis dan orang awam sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini.
Dalam pada itu, Nanda berkata, tiga individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum ini adalah warga tempatan dan rakan kepada mangsa.
Selasa lalu, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di dua lokasi di daerah Seremban kerana disyaki terbabit dengan penemuan mayat berkenaan.
Tambah beliau, ujian Covid-19 ke atas mayat itu juga mendapati si mati positif.
Pada 21 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini. – UTUSAN