Maut dibelasah senior: Bapa reda pemergian anak - Utusan Malaysia

Maut dibelasah senior: Bapa reda pemergian anak

JENAZAH Muhammad Hafdan Qurbani Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bapa kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini, Ahad lalu, reda dengan pemergian anaknya itu.

Bapanya, Qurbani Azhar Rahimi, 40, berkata, dia juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana urusan pengebumian arwah Muhammad Hafdan, 11, berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Walaupun urusan pengebumian lewat dua hari kerana suasana Covid-19 ketika ini, namun saya bersyukur kerana arwah pergi dalam keadaan baik dan dipermudahkan urusannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Gelugor di sini hari ini.

Menyentuh tentang suspek, Qurbani Azhar berkata, dia menyerahkan segalanya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Sebagaimana yang telah diberitahu, saya reda dengan segalanya. Untuk pihak kompleks dan rakan-rakan mangsa, saya memohon agar diberikan kemaafan buat arwah sekiranya arwah ada melakukan sebarang kesilapan,” katanya.

QURBANI AZHAR RAHIMI

Dalam pada itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan sekitar pukul 3.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur, di sini, dengan dihadiri keluarga terdekat dan pelajar kompleks rumah anak yatim dan miskin itu.

Qurbani Azhar menyifatkan Muhammad Hafdan sebagai anak yang bertanggungjawab dan sering membantu menguruskan adik-adiknya.

“Memang sangat merasai kehilangan arwah kerana dia seorang yang baik, mendengar kata dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi di sini disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kejadian itu yang berlaku di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin terbabit berpunca hanya kerana kanak-kanak yang dibelasah itu disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. zahari Wan Busu berkata, polis telah menahan reman seorang pelajar berusia 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya