Malaysia cadang wujud perjanjian perkhidmatan udara dengan Uruguay

Malaysia cadang wujud perjanjian perkhidmatan udara dengan Uruguay – Ka Siong

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mewujudkan perjanjian perkhidmatan udara baharu antara Malaysia dan Uruguay antara perkara yang dicadangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong kepada Menteri Pengangkutan dan Kerja Raya Uruguay, José Luis Falero. 

Menerusi satu hantaran di Facebook, Wee Ka Siong berkata, perkara itu dibangkitkan semasa kunjungan hormatnya ke atas Falero pada hari terakhir Perhimpunan XXIV Suruhanjaya Penerbangan Awam Amerika Latin (LACAC) ke-24, semalam. 

Katanya, cadangan itu bertujuan memperkemas pemulihan industri penerbangan negara terutama menjelang pembukaan semula sempadan mulai 1 April (ini) dan seterusnya. 

“TYT Falero bersetuju agar Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) segera memulakan perbincangan mengenai perkara ini dengan rakan sejawat mereka di sini,” katanya, hari ini. 

Menurut Ka Siong, Uruguay juga bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan Malaysia untuk bekerjasama dalam penggunaan minyak sawit sebagai Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) mengikut Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA). 

Katanya, ia akan memberi manfaat kepada semua pihak ke arah industri penerbangan hijau dan mampan. 

“Uruguay juga ingin mengetahui lebih lanjut daripada Malaysia tentang pembangunan dan pengurusan pelabuhan yang cekap dan berkesan, susulan kejayaan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai pelabuhan kontena ke-12 dan ke-15 tersibuk di dunia. 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada TYT Falero atas sokongan Uruguay kepada Malaysia yang berjaya dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Disember lalu. 

“Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) Malaysia akan menawarkan kepakaran dan kerjasama untuk melatih warga Uruguay dalam membina infrastruktur rel mereka untuk kereta api elektrik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN