BALIK PULAU: “Lupakan dahulu soal Pilihan Raya Umum (PRU-15).” Itu pandangan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak supaya PRU-15 diadakan dengan lebih awal.
Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, para pemimpin perlu memberikan fokus untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang dihadapi pada masa ini berbanding menumpukan perhatian kepada soal PRU-15.
“Fokus kepada kukuhkan urusan negara dengan pastikan rakyat berada dalam keadaan lebih baik dan krisis kesihatan dapat dijaga, barulah dilihat pada PRU.
“Apa pun itu (PRU-15) adalah pada budi bicara dan bidang kuasa Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas meninjau projek menggantikan jambatan sedia ada (Jambatan Titi Kerawang) di sini hari ini.
Sebelum ini, UMNO dilihat seolah-olah tetap bertegas supaya PRU-15 perlu diadakan segera tanpa berdolak-dalik dan berkias-kias.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bayangan Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung semalam adalah kali terakhir sebelum semboyan pilihan raya digerakkan.
Menurut Fadillah, semua pihak perlu memberi fokus mengenai langkah dan strategi yang patut diakukan supaya ekonomi negara berada dalam keadaan lebih baik.
“Dengan ekonomi dan kewangan negara berada dalam keadaan baik, maka kita akan dapat beri tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat dan pada saya, inilah fokus setiap ahli politik,” katanya.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, di zon Utara iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dah Perlis, terdapat 19 buah projek Persekutuan sedang dalam pembinaan manakala empat projek iaitu masing-masing dua di Kedah dan satu di Pulau Pinang serta Perak telah siap sepenuhnya.
Projek itu jelas beliau, antaranya menaik taraf jalan, membaiki dan membina jambatan baharu, membaiki laluan Persekutuan dan banyak lagi.
“Kesemua projek ini bernilai RM2.2 bilion dan merupakan peruntukan dari Rancangan Malaysia (RMK) Ke-11 dan RMK-12,” katanya.
Selain itu tambahnya, projek menggantikan jambatan sedia ada (Jambatan Titi Kerawang) telah siap pada 31 Mei tahun lalu melibatkan laluan sepanjang 160 meter dengan kos keseluruhan RM8.1 juta.
“Menerusi projek ini, kita dapat meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna serta laluan pelancongan dapat diperkasakan untuk berkunjung ke sini,” katanya. – UTUSAN










