DSA: Cendana Auto, UniMAP jalin kerjasama strategik perkasa teknologi komposit kenderaan

DSA: Cendana Auto, UniMAP jalin kerjasama strategik perkasa teknologi komposit kenderaan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke ruang Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2026) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC2026) diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cendana Auto Sdn. Bhd. (CASB) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan projek teknologi komposit kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CASB, Fairuz Abd. Razak berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada projek ‘Advanced Composite Vehicle Hood: Design, Testing and Structural Development’, untuk membangunkan komponen kenderaan berasaskan bahan komposit termaju khususnya bagi aplikasi industri pertahanan.

Beliau berkata, kerjasama itu penting dalam memperkasa inovasi industri melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain mengukuhkan pemindahan teknologi antara sektor industri dan akademik.

Katanya, kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik UniMAP untuk terlibat secara langsung dalam projek industri sebenar selaras dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Projek berkenaan akan menumpukan kepada pembangunan komponen kenderaan yang lebih ringan, tahan lasak dan mempunyai prestasi struktur yang lebih efektif.

“Ia sekali gus meningkatkan kualiti produk tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama itu sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Majlis disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berangkat meninjau rerurai DSA 2026.

Menurut Fairuz, MoA itu mencerminkan peranan DSA 2026 sebagai platform antarabangsa yang menggalakkan jalinan kerjasama strategik antara industri dan institusi pengajian tinggi dalam memacu inovasi tempatan.

Katanya, kerjasama dengan UniMAP sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi yang mampan dan berdaya saing, selari dengan aspirasi pembangunan industri negara.

“Kolaborasi itu juga dijangka mempercepatkan proses pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan melalui pemindahan ilmu dan teknologi yang lebih berkesan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Pada DSA kali ini, CASB mempamerkan dua kenderaan ketenteraan iaitu MIFV yang dinaik taraf serta infantry section vehicle (ISV).

ISV merupakan prototaip terbaharu hasil penambahbaikan daripada model terdahulu yang direka sebagai kenderaan mobiliti tinggi untuk membawa antara lapan hingga 10 anggota bersama kelengkapan operasi dengan konfigurasi fleksibel mengikut keperluan misi sama ada tanpa perisai atau dilengkapi sistem persenjataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN