Baju vintaj, koleksi arkib Madonna hilang selepas Coachella - Utusan Malaysia

Baju vintaj, koleksi arkib Madonna hilang selepas Coachella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Dua buah beg milik ratu pop dunia, Madonna, dilaporkan hilang selepas penampilan khasnya di pentas Coachella Valley Music and Arts Festival baru-baru ini.

Beg berkenaan dipercayai mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk kostum vintaj, pakaian pentas, barang kemas serta koleksi arkib peribadi milik penyanyi legenda itu.

Menurut polis Indio, California, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada beg tersebut dicuri atau tercicir secara tidak sengaja.

Difahamkan, kedua-dua beg itu kali terakhir dilihat berada di atas sebuah kereta golf di kawasan Empire Polo Grounds kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu lalu, hanya beberapa jam selepas Madonna membuat kemunculan istimewa bersama penyanyi sensasi, Sabrina Carpenter.

Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah kostum vintaj yang dipakai Madonna ketika membuat persembahan bersama Sabrina Carpenter, termasuk jaket, korset, gaun serta beberapa aksesori lain.

Lebih bermakna, busana tersebut merupakan pakaian sama yang pernah dipakainya ketika penampilan sulung di festival itu pada tahun 2005.

“Ini bukan sekadar pakaian, tetapi sebahagian daripada sejarah hidup saya.

“Beberapa barangan arkib lain dari era yang sama turut hilang,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Laporan kehilangan dibuat oleh wakil pasukan Madonna sekitar pukul 7.30 malam Sabtu selepas menyedari beg berkenaan tiada sebaik mereka tiba di hotel penginapan.

Polis percaya beg tersebut mungkin terjatuh daripada kereta golf yang dikendalikan kakitangan sebelum sempat dimuatkan ke dalam bas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan anggaran nilai sebenar barangan yang hilang.

Pada persembahan Coachella Jumaat lalu, Madonna dan Sabrina Carpenter menghiburkan penonton dengan beberapa lagu ikonik termasuk Vogue dan Like A Prayer, selain memperdengarkan sebuah lagu baharu yang dipercayai bakal dimuatkan dalam album terbaharunya, Confessions II.

Album tersebut bakal menjadi album studio ke-15 Madonna selepas kejayaan album pemenang Grammy pada tahun 2005 yang cukup terkenal menerusi lagu-lagu hit seperti Sorry dan Hung Up.

Madonna yang memulakan kerjaya sejak era 1980-an sehingga kini telah merangkul pelbagai pengiktirafan termasuk tujuh Anugerah Grammy dan dua Anugerah Brit.

Penyanyi ini turut mencipta sejarah apabila memiliki 13 single nombor satu serta 12 album yang berjaya menduduki tangga teratas carta muzik di United Kingdom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN