Lima beranak hadapi detik cemas terperangkap banjir - Utusan Malaysia

Lima beranak hadapi detik cemas terperangkap banjir

NOR Shafida Othman (tengah) bersama dua anaknya membersihkan rumah selepas dimasuki air dan lumpur dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bendang Sera, Baling. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Lima beranak menghadapi detik cemas apabila terperangkap di rumah mereka dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bendang Sera di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Nor Shafida Othman, 36, berkata, dia bersama tiga anak dan ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) berada di dalam rumah.

Pada masa masa itu, katanya, dia berada di dalam rumah bersama ibu, Mek Teh Awang Kechik, 67, serta anak-anak, Mohamad Alif Haikal Mohd. Anzallah, 9; Mohamad Alif Ikmal Mohd. Anzallah, 13, dan Nur Hanis Humaira Mohd. Anzallah, 7.

Menurutnya, ketika itu mereka sekeluarga sedang makan dan kemudian secara tiba-tiba terdengar bunyi air yang mengalir sangat kuat di luar rumahnya.

“Saya terkejut apabila melihat air mula naik dengan cepat dan mula memasuki rumah. Kami tidak sempat lari keluar dari rumah dan saya mengarahkan anak-anak dan ibu naik ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang sera di sini hari ini.

Nor Shafida memberitahu, mereka hanya sempat mencapai dan menyelamatkan beberapa barangan dan perkakasan rumah kerana air deras memasuki rumah melalui empat cermin tingkap.

“Dalam mangsa singkat, paras air mencapai kira-kira dua meter dan saya tidak berani turun ke bawah kerana bimbang berlaku pintasan elektrik.

“Saya cuba menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk meminta bantuan, namun mereka tidak dapat menghampiri rumah kerana paras air banjir dalam serta arus deras,” jelasnya.

Katanya, sehingga pukul 11 malam baharu mereka dapat menyelamatkan diri dengan bantuan bomba.

“Rumah saya dimasuki air sebanyak empat kali dalam minggu ini dan semalam adalah yang paling teruk sehingga terperangkap di dalam rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN